PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan untuk menangguhkan prosiding berhubung saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidik Muhammed Yusoff Rawther terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia bagi menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan isu penting Perlembagaan berkaitan kekebalan jawatan Perdana Menteri.
Penangguhan itu berikutan permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke mahkamah tertinggi negara termasuk persoalan sama ada seorang Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman sivil semasa memegang jawatan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali sebulat suara bersetuju wujudnya ‘keadaan istimewa’ yang mewajarkan penangguhan sementara prosiding saman yang sepatutnya bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Jun lalu.
“Sekiranya rayuan ini tidak dibenarkan, rujukan kepada Mahkamah Persekutuan akan menjadi tidak relevan. Oleh itu, mahkamah berpandangan bahawa penangguhan adalah wajar dan tidak memprejudiskan mana-mana pihak,” kata Che Mohd Ruzima.
Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Lim Hock Leng.
Mahkamah turut menetapkan 2 September depan untuk pengurusan kes selanjutnya.
Untuk rekod, pada 4 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan atas alasan ia bersifat spekulatif dan tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Antara persoalan yang dikemukakan Anwar ialah sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada disaman ketika memegang jawatan Perdana Menteri.

Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 mendakwa beliau telah diserang secara seksual di kediaman Anwar di Segambut pada Oktober 2018, iaitu sebelum Ahli Parlimen Tambun itu dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022. – MalaysiaGazette
















