Pathmanathan.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengesahkan peningkatan permintaan air di negeri ini memaksa mereka meningkatkan pengeluaran air terawat bagi memastikan bekalan kekal stabil, terutamanya di kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (HPA).

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, penggunaan harian purata melonjak kepada 899.2 juta liter sehari (JLH) pada Jun 2025 berbanding 870 JLH pada 2024.

Jelas beliau, sebagai respons, PBAPP telah menghasilkan purata 1,213.3 JLH air terawat dari 10 loji rawatan air, melebihi pengeluaran purata 1,208 JLH pada tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, gangguan tekanan air rendah secara berkala masih dilaporkan, terutama di Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) dan Daerah Barat Daya (DBD) di bahagian pulau.

“PBAPP sedang menyelaras operasi pengepaman dari Loji Rawatan Air Sungai Dua bagi meningkatkan bekalan ke kawasan terjejas tanpa menjejaskan sistem paip sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Pathmanathan, beberapa tindakan kejuruteraan turut diambil termasuk pengoptimuman pengeluaran air di semua loji, audit bekalan, pelarasan injap utama, serta pemantauan ketat terhadap paip utama untuk mengurangkan risiko paip pecah dan kebocoran.

“Setakat Sabtu lalu, kapasiti efektif Empangan Air Itam berada pada paras 59.4 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pada 53.8 peratus.

“PBAPP kini mengambil langkah mengekalkan kapasiti itu sehingga hujan tiba, dijangka pada bulan September.

“Dalam masa sama, pengguna diminta menyokong sasaran penjimatan air domestik 250 liter seorang sehari serta menggunakan air secara berhemat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast