KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyindir pemimpin Pas yang terus kekal di dalam kerajaan meskipun tidak bersetuju dengan dasar-dasar ketika negara di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau mengambil contoh semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri yang mana cabutan loteri dinaikkan kepada 22 kali setahun berbanding lapan kali yang mencetuskan kontroversi memandangkan Pas turut berada dalam kerajaan ketika itu.
Ujarnya, beliau pasti pemimpin Pas berbincang secara dalaman, bersuara dan membantah berhubung dasar itu dalam Kabinet ketika itu.
Tambahnya, situasi sama juga dilakukan beliau ketika menjadi Menteri Ekonomi yang turut membangkitkan kepada Perdana Menteri serta bersuara di dalam Kabinet berhubung isu-isu yang tidak dipersetujuinya.
Namun, jelas beliau, pada akhirnya menteri tertakluk kepada keputusan akhir Perdana Menteri ataupun Jemaah Menteri dalam isu yang dibangkitkan tersebut.
“Bezanya saya dengan Pas begini, walaupun saya diminta kekal dalam Kabinet, bila saya rasa sudah tidak serasi atau pandangan saya tidak boleh dipertimbangkan oleh Perdana Menteri maka saya letak jawatanlah.
“Pas lain sedikit. Walaupun di luar menjerit anti-judi dan mahu mengangkat syiar Islam selepas di dalam bersuara masih lagi kekal sampai ke sudah.
“Loteri naik tiga kali ganda pun tak apalah asalkan ana kekal jadi Menteri,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Menurut Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, penjelasan itu dibuat selepas pelbagai pihak sama ada di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Pas mempersoalkan mengapa beliau tidak membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap isu-isu tertentu ketika masih berada dalam kerajaan.
Sehubungan itu, katanya, pemimpin Pas khususnya pasti mengetahui jawapannya memandangkan pernah berdepan situasi sama ketika berada dalam kerajaan di bawah Muhyiddin suatu ketika dulu.
“Sebab itu bagi saya, ujian sebenar seorang pemimpin bukanlah lantangnya dia semasa berhadapan dengan lawan. Ujian sebenar ialah istiqamahnya menegur kawan dalam parti dan kerajaan.
“Kerana menegur kawan itu lebih susah dari menegur lawan,” katanya. – MalaysiaGazette
















