PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini dijadual mendengar permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menangguhkan prosiding kes saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan serangan seksual.
Prosiding tersebut berlangsung susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Jun lalu yang membenarkan penangguhan sementara (ad-interim) terhadap perbicaraan yang sepatutnya bermula pada 16 Jun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Perbicaraan asal dijadual berlangsung selama tujuh hari di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain bermula 16 hingga 19 Jun dan bersambung pada 23 hingga 25 Jun.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Supang Lian sebelum ini membenarkan penangguhan sementara tersebut selepas mendapati permohonan Anwar berlandaskan peruntukan Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Hakim Supang menyatakan perintah ad-interim itu dikeluarkan bagi memelihara integriti permohonan tangguh bicara yang difailkan oleh pihak perdana menteri.
Permohonan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan lisan peguam Anwar pada 4 Jun untuk menangguhkan perbicaraan.
Dalam prosiding sebelum ini, peguam Alan Wong Teck Wei yang mewakili Anwar berhujah bahawa permohonan penangguhan ad-interim dibuat secara bona fide memandangkan Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan rujukan lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.
Menurutnya, isu yang dibangkitkan adalah penting dan belum pernah diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.
Beliau juga memaklumkan perbicaraan yang diteruskan akan mengalih tumpuan Anwar daripada tugas sebagai perdana menteri, sekali gus boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap kepimpinan beliau dan kestabilan pentadbiran kerajaan.
Namun, peguam Muhammed Yusoff, Muhammad Rafique Rashid Ali pula pada prosiding itu membantah permohonan tersebut dengan alasan bahawa tarikh perbicaraan telah ditetapkan sejak 6 Jun 2024, memberikan masa mencukupi kepada Anwar untuk membuat persiapan.
Beliau juga memaklumkan anak guamnya dijadual menjadi saksi pertama dalam perbicaraan tersebut.
Untuk rekod, pada 4 Jun lalu, Hakim Roz Mawar menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan atas alasan ia bersifat spekulatif dan tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Antara persoalan yang dikemukakan Anwar ialah sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada disaman ketika memegang jawatan Perdana Menteri.
Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021, mendakwa beliau telah diserang secara seksual di kediaman Anwar di Segambut pada Oktober 2018, iaitu sebelum Ahli Parlimen Tambun itu dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022. – MalaysiaGazette
(KEMAS KINI) Mahkamah Rayuan benar tangguh sementara saman Yusoff Rawther terhadap Anwar
















