PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mencabar pihak pembangkang supaya membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat yang mula bersidang hari ini.
Pada masa sama, beliau juga sedia menerima apa jua keputusan sekiranya pembangkang memiliki sokongan mencukupi untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya.
Namun katanya, agak aneh apabila kerajaan dipaksa bertukar tanpa mahu menunggu pilihan raya umum yang diamalkan secara proses demokrasi selama ini.
“Saya beritahu Yang di-Pertua Dewan Rakyat, kalau ada usul hari ini, hari pertama sidang Parlimen, saya tunggu usul undi tidak percaya.
“Kalau ada majoriti, silakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Julai Tahun 2025 di sini hari ini.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilaporkan berkata, usul undi tidak percaya kepada Anwar sama ada dikemukakan di Dewan Rakyat atau sebaliknya akan diketahui pada hari ini.
Beliau menjelaskan, sebarang pengesahan berkenaan perkara itu akan dimaklumkan pada hari pertama mesyuarat kedua penggal keempat Parlimen ke-15
Mengulas lanjut, Anwar menambah, beliau dimaklumkan wujud dakwaan kononnya kerajaan perlu digulingkan segera tanpa perlu menunggu pilihan raya umum.
“Ada yang kata Anwar kena turun. Saya dengar ada ribuan peserta. Polis beri laporan, saya kata teruskan, tidak halang,” jelas beliau. – MalaysiaGazette
















