KUALA LUMPUR – Tidak ada usul undi tidak percaya disebut oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi pemasyhuran Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di sini hari ini.
Sebaliknya Johari berkata, antara urusan penting akan dibahas dan dipertimbangkan pada sesi kali ini ialah rang undang-undang (RUU) dan usul berkaitan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Katanya, turut dijangka dibahas ialah Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 dan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
“Mesyuarat kali ini dijangka kerap bersidang sehingga lewat malam,” katanya ketika membuka tirai persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Johari, Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan ia mengembalikan autonomi institusi Parlimen Malaysia.
Terdahulu, katanya, sesi persidangan kali ini akan memakan masa 24 hari bermula hari ini sehingga 28 Ogos.
“Ia juga memperkasa demokrasi Malaysia dan mengukuhkan prinsip pemisahan kuasa. Saya mengucapkan penghargaan kepada Ahli Parlimen yang bersama menyokong kewujudan PSA,” katanya.
Awal pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pihak pembangkang supaya membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat yang mula bersidang hari ini.
Pada masa sama, beliau juga sedia menerima apa jua keputusan sekiranya pembangkang memiliki sokongan mencukupi untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya.
Beliau berkata demikian ketika majlis perjumpaan dengan warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Julai Tahun 2025 pagi tadi.-MalaysiaGazette
















