KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mempergiat pemantauan aktiviti di Taman Metropolitan Kepong susulan kejadian tali layang-layang terkena seorang penunggang motosikal yang melalui berhampiran kawasan berkenaan.
Menurutnya, DBKL juga telah meletakkan papan tanda amaran keselamatan di sekitar kawasan taman bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan tersebut menyeru orang ramai sentiasa mematuhi garis panduan keselamatan semasa menjalankan aktiviti riadah, termasuk aktiviti bermain layang-layang, khususnya di kawasan berhampiran jalan raya atau laluan trafik.
“Keutamaan harus sentiasa diberikan kepada keselamatan diri dan orang sekeliling,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam tular, seorang penunggang motosikal cedera di leher selepas terkena tali layang-layang yang melintas secara tiba-tiba ketika melalui di lokasi berkenaan.
Mangsa, Muhammad Faris Rosaidee berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang semasa dalam perjalanan dari Batu Caves ke Bandar Sri Damansara.
Kejadian itu telah mencetuskan kebimbangan orang ramai. – MalaysiaGazette















