GEORGE TOWN – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja dengan penahanan empat lelaki dalam serbuan berasingan di Seberang Jaya dekat sini dan Gurun, Kedah.
Operasi selama dua hari bermula Ahad lalu turut membawa kepada rampasan hampir 17 kilogram (kg) daun ganja kering bernilai kira-kira RM53,500.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga suspek dilakukan di kawasan tempat letak kereta di Seberang Jaya.
“Hasil pemeriksaan terhadap but kereta dinaiki suspek menemui dua beg kanvas berisi 10 bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 9.9 kg,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebuah van jenis Perodua Rusa bernilai RM11,000 turut disita untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, siasatan lanjut membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek di kawasan parkir di Gurun yang membawa kepada rampasan tujuh bungkusan plastik lutsinar ganja seberat kira-kira 7 kg yang diletakkan dalam satu guni.
“Turut dirampas, empat paket dadah disyaki heroin seberat 30.34 gram (g) dan tiga paket disyaki syabu seberat 3.45 g.
“Kesemua suspek yang berusia antara 32 hingga 61 tahun itu aktif dalam pengedaran dadah sejak Mei lalu dan bekalan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 35,000 penagih.
“Semakan juga mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah selain ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah.
Tambah Mohd Alwi, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 27 Julai ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















