KUALA LUMPUR – Sebuah premis dipercayai menjalankan penjualan rokok elektronik (vape) tanpa lesen diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu di Jalan Jeli-Kelewek, Tanah Merah, Kelantan malam tadi.
Serbuan kira-kira 10.15 malam itu dijalankan oleh Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun berada dalam premis terbabit.
“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan atau lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan berkaitan penyimpanan dan penjualan rokok elektronik serta perantinya.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 1,242 unit cecair vape dan 36 kotak peranti vape dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM125,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nik Ros Azhan, premis itu juga disyaki beroperasi secara haram dan menjual barangan tanpa kelulusan.
Kesemua barangan yang dirampas diserahkan kepada Majlis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) dan 8(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDTM 2019.
Nik Ros Azhan turut menegaskan, PGA akan terus memperhebat operasi sebegini bagi mengekang kegiatan perniagaan tanpa lesen terutama melibatkan barangan sensitif seperti rokok elektronik yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
“Kami tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu atau premis yang melanggar undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette.
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast














