KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming hari ini menuntut pihak yang mendakwa projek MyKiosk sebagai gajah putih membuat permohonan maaf.
Katanya, pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengatakan tiada unsur rasuah atau salah guna kuasa dalam projek tersebut membuktikan usaha keras penjawat awam melaksanakan dasar kerajaan tidak sepatutnya menjadi fitnah pihak tidak bertanggungjawab.
“Dulu ada dakwaan projek ini projek gajah putih, oleh kerana itu KPKT mengambil inisiatif sendiri menyerahkan dan mempelawa SPRM datang untuk siasat, (tapi) SPRM tidak datang, kami pergi ke SPRM.
“Kami bagi semua dokuman untuk SPRM siasat. Minggu lepas SPRM sudah keluarkan kenyataan di mana tiada salah guna kuasa, tiada unsur jenayah, tiada unsur rasuah. Maka siapa yang lempar batu, jangan simpan (sembunyi) tangan.
“Saya menuntut bagi pihak warga KPKT yang bekerja bertungkus lumus membantu rakyat, mereka yang buat tohmahan, fitnah sila mohon maaf kerana kita rasa penjawat awam yang bekerja, pengorbanan mereka wajib dihargai bukan lemparkan pelbagai tuduhan yang tidak berasas,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Mengakui terdapat sedikit kelemahan pelaksanaan projek tersebut namun Nga berkata, pihaknya akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan dan memantau ketelusan MyKiosk.
Terdahulu beliau berkata, sehingga Julai 2025, pengisian MyKiosk@KPKT (2023) adalah sebanyak 2,926 unit bersamaan 91.75 peratus.
Manakala, MyKiosk 2.0 bagi tahun lalu sebanyak 3,518 unit, iaitu 86.78 peratus.
Pada 4 Julai yang lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, tiada elemen jenayah berhubung siasatan dakwaan wujudnya amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan MyKiosk oleh KPKT.
Sebaliknya katanya, siasatan yang dijalankan agensi berkenaan ketika ini adalah berkaitan isu tatakelola.
Kor Ming turut menjelaskan mengenai sistem lampu isyarat yang akan menentukan tahap prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai pelaksana.
“Saya akui daripada aspek pelaksanaan ada sedikit kelamahan sebab itu tahun ini kita buat reformasi buat sistem traffic light (lampu isyarat). Ada penilaian untuk PBT mengikut lampu isyarat. Kalau lampu hijau cemerlang dan peruntukan dilipat gandakan
“Kalau lampu kuning, peruntukan dikaji semula, lampu merah peruntukan akan dibatalkan malah YDP (Yang Dipertua) akan dipanggil oleh KPKT untuk menerima teguran dan beri penjelasan mengapa gagal melaksanakan dasar kerajaan.
“Yang baik kita puji, yang baik dijadikan teladan yang buruk dijadikan sempadan,” katanya lagi. .- MalaysiaGazette
















