Yap Zhan How dan Teng Hao Wen bersama mini pot ciptaan mereka.

KUALA LUMPUR – Dua pelajar Tahun 2 Bacelor Teknologi Pertanian Pintar, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Yap Zhan How dan Teng Hao Wen mencipta mini pot, produk di bawah jenama Vermacres yang dibangunkan sendiri bagi menggalakkan amalan pertanian mesra alam dalam ruang kediaman yang terhad.

Mini pot merupakan kit tanaman lengkap yang mengandungi media semula jadi seperti cocopeat dan vermikompos, bersama benih empat jenis tumbuhan pilihan iaitu lavender, gypsophila, cat grass, dan mosquito repellent grass.

Menurut Yap Zhan How, idea penghasilan mini pot tercetus daripada minat mendalam mereka terhadap bidang pertanian serta keinginan untuk memperkenalkan produk yang menyokong gaya hidup lestari dan praktikal di kawasan bandar.

“Kami mahu hasilkan produk yang bukan sahaja memudahkan orang ramai bercucuk tanam dalam ruang terhad, tetapi untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya amalan hijau. Mini pot direka sebagai titik permulaan yang mudah, mesra pengguna dan sesuai untuk semua peringkat,” katanya.

Rakannya, Teng Hao Wen berkata, media tanaman yang digunakan dibangunkan melalui proses vermicomposting, iaitu kaedah penguraian sisa makanan seperti sayur dan buah menggunakan cacing African Night Crawlers untuk menghasilkan baja organik berkualiti tinggi.

“Vermikompos bukan sahaja membekalkan nutrien semula jadi kepada tanaman, malah membantu mengurangkan pembaziran makanan harian. Ia merupakan baja yang selamat, efektif dan menyuburkan tanah secara semula jadi,” katanya.

Tambah beliau, pemilihan empat jenis tanaman tersebut dibuat berdasarkan fungsi dan nilai tambah masing-masing. Lavender menghasilkan aroma menyegarkan, cat grass membantu sistem penghadaman kucing, gypsophila popular sebagai hiasan dan hadiah, manakala mosquito repellent grass bertindak sebagai agen semula jadi mencegah serangga.

“Mini pot turut menyediakan kod QR dalam setiap unit yang menghubungkan pengguna kepada tutorial penanaman, panduan penjagaan serta komuniti atas talian yang aktif. Komuniti ini berperanan sebagai ruang sokongan bagi pengguna berkongsi perkembangan tanaman, memberi maklum balas dan bertanya soalan secara langsung,” katanya.

Selain itu, matlamat mereka adalah untuk menjadikan pengalaman bercucuk tanam ini lebih inklusif, menyeronokkan dan boleh diakses oleh semua golongan, tidak mengira atau latar belakang.

Namun, proses pembangunan Mini Pot turut berdepan pelbagai cabaran, termasuk kekangan kewangan, penyelenggaraan cacing yang sensitif terhadap suhu, serta had dari segi pemasaran kerana segala proses dijalankan sepenuhnya oleh mereka berdua.

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, mereka yakin mini pot boleh memberi manfaat dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menanam sendiri
dan mengurangkan sisa makanan.

Mereka turut mengharapkan usaha kecil ini dapat mencetuskan perubahan besar dalam cara masyarakat melihat pertanian serta menyumbang ke arah keterjaminan
makanan negara yang lebih lestari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast