Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf hadir bela diri pertuduhan pengabaian kanak-kanak autistik itu ditemani bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari di Mahkamah Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JULAI 2025.

 

 

PETALING JAYA – ‘Polis reka cerita saya bunuh anak saya. Saya dipaksa membuat pengakuan palsu selepas diasak secara fizikal dan mental.”

Demikian dakwaan Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Matin ketika memberi keterangan membela diri di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di hadapan hari ini.

Ismanira berkata demikian ketika disoal balas oleh peguambela, Haresh Mahadevan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh berhubung pertuduhan mengabaikan anaknya pada Disember 2023.

Menurutnya, sepanjang tempoh 13 hari siasatan ke atasnya dijalankan, beliau diasak secara berterusan, diugut dan diperlakukan secara tidak wajar termasuk di sebuah premis khas yang dikenali sebagai safe house.

“Rumah itu besar, ada ruang tamu luas dan beberapa bilik, saya tidak ingat jumlahnya. Tapi di pintu masuk, ada label D8. Saya ingat ada dua atau tiga bilik yang digunakan untuk soal siasat dan salah satu daripadanya ada meja mesyuarat,” katanya ketika membela diri di sini hari ini.

Beliau mendakwa berada selama 12 hari di premis tersebut dan hanya sehari ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk disoal siasat.

“Setiap hari saya disoal siasat dari sekitar 9 pagi hingga 6 petang. Kadang-kadang pegawai berbeza tapi soalan sama diulang-ulang,” jelasnya.

Menurut Ismanira, walaupun memberikan kerjasama penuh, beliau tetap ditekan secara mental dan dipaksa mengaku melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukannya.

“Mereka tuduh saya yang jumpa Zayn dulu dan saya sendiri yang bunuh Zayn. Tapi itu tak benar. Saya nafikan sekeras-kerasnya. Mereka tetap paksa saya mengaku sesuatu yang saya tidak buat,” katanya sambil menangis di kandang saksi.

Dakwa Ismanira, beliau pernah bertanya mengapa tidak ditahan di balai polis seperti diperintahkan oleh majistret semasa reman sebaliknya dibawa ke safehouse namun jawapan yang diterima bercampur kerana ada polis yang bersimpati, ada juga yang terus menekannya.

“Ada yang minta saya sabar, katanya, mereka hanya ikut arahan atasan. Tapi ada juga yang tak puas hati, tekan saya setiap hari. Mereka ugut, pukul dan takutkan saya walaupun saya cakap jujur,” dakwanya.

Beliau turut mendakwa pernah dipukul oleh seorang anggota polis lelaki yang menurutnya tidak berada di safehouse ketika kejadian.

Ditanya siapakah yang mengetuai sesi soal siasat, Ismanira menyatakan proses itu dikendalikan oleh pegawai dari Bukit Aman namun dia tidak pasti nama penuhnya namun boleh mengecamnya di mahkamah.

Ismanira turut memaklumkan beliau pernah membuat aduan kepada Majistret sebanyak dua kali ketika permohonan reman dan juga membuat laporan polis namun mendakwa tiada sebarang tindakan diambil sehingga hari ini.

“Saya beritahu Majistret saya dipaksa serta digertak untuk membuat pengakuan. Akhirnya Majistret terima pengakuan tidak bersalah saya,” ujarnya.

Beliau berkata, selepas itu beliau dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari turut dibawa ke safehouse tersebut.

“Polis mengenakan saya. Saya telah bekerjasama sepenuhnya. Tapi IO (pegawai penyiasat) sendiri telah mengkhianati saya dan suami. Kami ditahan selepas enam bulan arwah Zayn meninggal dunia,” katanya.

Dalam keterangannya, Ismanira terus menafikan tuduhan dia mengabaikan anaknya dan menegaskan, dia kasihdan menyayangi arwah Zayn Rayyan.

“Saya yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Zayn. Saya hanya berpisah dengan dia waktu saya bekerja dan waktu dia di sekolah.

“Saya tak pernah biarkan dia bersendirian. Saya benar-benar hilang dia pada hari kejadian bukan sebab saya abaikan dia,” katanya sambil teresak-esak.

Prosiding dijangka bersambung sebelah petang dengan pasukan pendakwaan membuat pemeriksaan balas.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di dalam anak sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya pada jam 10 malam, 6 Disember 2023 sehari selepas dilaporkan hilang oleh keluarganya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast