KUALA LUMPUR – Teknologi kecerdasan buatan (AI) akan digunakan bagi mengenal pasti titik panas wabak denggi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kaedah itu sedang dibangunkan sebagai salah satu cara untuk menangani wabak berkenaan di dalam negara.
“Kematian akibat denggi kini melebihi Covid-19. Tahun ini, sebanyak 21 kematian dicatatkan manakala Covid-19 hanya satu.
“Bagaimanapun jumlah itu masih mencatatkan penurunan kerana tahun lalu terdapat 83,000 kes dengan 117 kematian,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pas- Kuala Langat) berhubung kaedah dan inisiatif bagi membantu pengawalan kes denggi di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Dr Dzulkefly berkata, projek pembangunan vaksin denggi bertajuk Development of Next-Generation Dengue Vaccine: Oral Vaccine for Dengue (ORAVAD) kini pada peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Universiti Malaya.
Menurutnya, ia masih berjalan dan menggunakan peruntukan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Pada masa sama, Dr Dzulkefly berkata, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi produk vaksin denggi berjenama Qdenga selama dua tahun bermula 8 Februari 2024.
“Dalam tempoh tersebut, pihak syarikat perlu mengemukakan laporan mengenai keberkesanan dan keselamatan produk melibatkan penerima vaksin tempatan secara berkala kepada PBKD,” katanya lagi.
Namun sehingga kini KKM tiada perancangan untukmemperkenalkan produk Qdenga dalam Program Imunisasi Kebangsaan.
Jelas beliau, ia kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan Qdenga sesuai dipertimbangkan di negara dengan kadar penularan denggi yang tinggi iaitu kadar jangkitan (seroprevalence) melebihi 60 peratus pada usia sembilan tahun atau kemuncak umur kemasukan ke hospital akibat denggi di bawah 16 tahun.
Namun Malaysia tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pertubuhan tersebut.
Terdahulu Dr Dzulkefly berkata, Selangor negeri mencatatkan kes tertinggi denggi. – MalaysiaGazette
















