Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang agar mewujudkan satu mekanisme pemulangan semula bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 kepada penerima yang tidak mahu atau tidak memerlukannya.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong yang mencadangkan perkara itu berkata, dana yang terkumpul boleh digunakan untuk dua perkara yang lebih penting.

Pertama, dana tersebut boleh digunakan untuk mempercepatkan rawatan elektif serta mengurangkan waktu menunggu bagi 15,000 pesakit di hospital kerajaan yang kini perlu menanti giliran sehingga 21 bulan.

Selain itu, dana berkenaan berkenaan juga menurut beliau boleh diberikan sebagai biasiswa kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperolehi keputusan semua A serta lepasan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dengan PNGK cemerlang yang masih dinafikan peluang ke kolej matrikulasi atau universiti awam bagi mengikuti kursus pilihan utama mereka.

“Daripada belanja duit untuk langkah populis kepada golongan yang mungkin tidak memerlukan, bukankah lebih baik digunakan untuk bantu rakyat yang benar-benar memerlukan dan naik taraf sistem kesihatan serta pendidikan negara?

”Saya percaya PMX, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, semua menteri kabinet dan ramai ahli-ahli parlimen serta ADUN juga akan sanggup melepaskan bantuan SARA RM100 mereka demi Rakyat. Saya orang pertama akan salurkan.

”Satu solusi win-win – rakyat boleh pilih, kerajaan pun menang!.” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/07/23/hampir-15000-pesakit-tunggu-giliran-pembedahan-elektif-di-hospital-kerajaan/

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan, ketika ini, hampir 15,000 pesakit sedang menunggu untuk menjalani pembedahan elektif di hospital kerajaan.

Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, pembedahan kecemasan tetap dijalankan dengan segera bagi menjamin keselamatan pesakit.

Menurut beliau, seramai 9,233 pesakit kini berada dalam senarai menunggu untuk pembedahan katarak di 56 hospital kementerian di seluruh negara, dengan purata tempoh menunggu selama tiga bulan.

Sementara itu, seramai 2,661 pesakit sedang menunggu prosedur berkaitan batu karang seperti percutaneous nephrolithotomy dan retrograde intrarenal surgery, dengan purata tempoh menunggu selama 11 bulan di 13 hospital yang mempunyai pakar tetap. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast