KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mengingatkan ada hadis yang dirujuk ulama Pas berkenaan tanggungjawab menegur pemerintah menerusi demonstrasi turut terpakai di negeri-negeri ditadbir parti itu.
Menurutnya, hadis itu bukan hanya terpakai untuk menegur satu-satu pihak sahaja tetapi ia terpakai kepada semua pemerintah sama ada peringkat Persekutuan yang ditadbir Kerajaan Perpaduan atau negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).
Kata beliau, sekiranya berlaku apa-apa sahaja kepincangan maka menjadi tanggungjawab rakyat dan mana-mana pihak yang berpolitik untuk menegurnya tanpa takut.
Malah, ujarnya, berdemonstrasi menurut lunas perundangan negara juga adalah salah satu manifestasi bersuara untuk menyatakan pandangan.
“Sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan kelemahan pentadbiran Pas di Kelantan atau ketidaktelusan pentadbiran Pas di Terengganu atau tindakan yang melanggar hukum syarak seperti isu pengambilan tanah kebun kelapa di Tebing Tembah atau isu-isu ketelusan yang berlaku dalam pentadbiran di Perlis maka menjadi kewajipan moral dan beragama untuk setiap orang menegur sama ada menerusi ceramah, tulisan atau berdemonstrasi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Mohd. Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri merujuk kenyataan Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) yang menyebut tentang turun berdemostrasi adalah tanggungjawab moral dan beragama untuk menyatakan pandangan.
Menurut beliau, adalah menjadi kebiasaan ahli politik Islam akan merasionalkan apa sahaja teguran, bangkangan atau penentangan kepada pemerintah berdalilkan hadis-hadis yang menyeru untuk bersuara terhadap pemerintah yang zalim.
Antaranya, kata beliau, hadis yang membawa maksud: “Sebaik-baik JIHAD adalah kalimah yang adil di sisi pemerintah yang zalim” (Hadis riwayat Abu Dawud)”.
“Justeru, kewajipan bersuara adalah tanggungjawab semua pihak terhadap mana-mana pemerintah dalam melaksanakan hak berpolitik dalam negara.
“Tinggal lagi ialah adab dan akhlak dalam menyampaikan pandangan dan teguran,” katanya.
Pas sebelum ini merancang mengadakan himpunan aman Turun Anwar pada Sabtu ini di sekitar ibu negara dengan sasaran penyertaan seramai 50,000 orang. – MalaysiaGazette
















