KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyeru kerajaan supaya tidak hanya bergantung kepada bantuan bersifat sekali beri (one-off) atau jangka pendek.
Sebaliknya, Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih menyeluruh dan mampan bagi menangani akar umbi masalah rakyat.
Antaranya, menurut beliau, majoriti rakyat ketika ini bergelut dengan kestabilan harga barangan asas selain isu pendapatan yang rendah dan pekerjaan tidak menentu.
Dalam masa sama, kerajaan juga masih berdepan cabaran dari sudut ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah terutamanya di Sabah dan Sarawak.
“Rakyat hari ini mahukan lebih daripada bantuan tunai yang mana mereka mengharapkan penyelesaian jangka panjang dan sistem pentadbiran yang berteraskan amanah, kecekapan dan integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia hari ini antara lain mengumumkan bantuan tunai one-off RM100 kepada rakyat dewasa selain jaminan harga petrol turun kepada RM1.99 menjelan akhir September ini.
Turut diumumkan adalah tambahan sebanyak RM300 juta bagi program Jualan Rahmah MADANI serta tiada kenaikan tol sepanjang tahun ini.
Mengulas mengenai bantuan yang diumumkan, Jais berkata, pihaknya percaya inisiatif itu mampu memberi kelegaan sementara kepada golongan yang terkesan.
Namun keberkesanan bantuan yang diumumkan itu amat bergantung kepada pelaksanaan yang berintegriti, telus dan bertanggungjawab.
“Setiap sen wang rakyat mesti disalurkan kepada penerima yang benar-benar layak, tanpa ketirisan, penyelewengan mahupun manipulasi sistem,” katanya.
Dalam masa sama MCW akan terus komited dalam memantau pelaksanaan dasar seperti yang diumumkan itu serta menyuarakan kepentingan rakyat demi membina sebuah negara yang bebas rasuah, adil dan berdaya tahan. – MalaysiaGazette
















