JOHOR BAHRU – Titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail agar 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dikembalikan kepada negeri ini bukan tuntutan mendesak tanpa asas.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tuntutan itu juga bukan menafikan kerjasama erat antara kerajaan Johor dengan Kerajaan Persekutuan.
“Sebaliknya, ia merupakan satu cadangan yang rasional, strategik dan berpandangan jauh agar negeri yang telah terbukti menyumbang besar kepada kemakmuran negara turut diberikan keupayaan kewangan dan kuasa pengurusan yang lebih adil dan efektif.
“Sekiranya hasil ini dapat diurus dan diagihkan dengan lebih telus dan cekap, bukan sahaja rakyat Johor akan mendapat manfaat secara langsung, malah ekonomi negara juga akan menerima limpahan positif yang lebih besar.
“Dengan kemudahan kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan sosial yang bertambah baik, Johor akan menjadi lebih kompetitif, mampan dan bersedia menyumbang lebih jauh kepada pembangunan Malaysia secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Semalam Tunku Mahkota Ismail bertitah, sekiranya 25 peratus hasil cukai itu dipulangkan akan membolehkan Johor berdiri atas kaki sendiri sekali gus tidak membebankan kerajaan Persekutuan.
Baginda bertitah, tuntutan berkenaan selepas melihat beberapa masalah dan kelemahan beberapa projek kemudahan awam di negeri ini baru-baru ini.
Antaranya kelewatan pembukaan Hospital Pasir Gudang, isu gangguan sistem autogate di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini selain projek tebatan banjir.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada semangat kebersamaan dengan Kerajaan Persekutuan, namun dalam masa sama Johor wajar dilihat bukan hanya sebagai penyumbang angka ekonomi negara.
Johor katanya, adalah rakan kongsi strategik yang boleh digerakkan untuk menjayakan agenda pembangunan negara dengan lebih pantas dan menyeluruh, demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Kerajaan negeri katanya, berharap Kerajaan Persekutuan dapat menimbang dan memperhalusi cadangan itu sebaiknya oleh demi kepentingan bersama-sama.- MalaysiaGazette
















