KUALA LUMPUR – Malaysia sedang meneroka potensi baharu dalam sektor pelancongan pendidikan dan pengembaraan melalui kerjasama strategik dengan CYTS Xinjiang menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing hari ini.
Dalam satu pertemuan bersama wakil syarikat pelancongan dari wilayah China itu, Liang Changhong, beliau memaklumkan CYTS kini memberi tumpuan kepada pakej pelancongan pendidikan ke Xinjiang serta pengembaraan tersuai seperti pemanduan kendiri, pendakian dan aktiviti lasak lain.
Selain itu, syarikat itu turut memasarkan produk pelancongan keluar ke Asia Tenggara, khususnya ke Malaysia dan Singapura.
“Fokus utama mereka ketika ini adalah pakej musim sejuk ke Malaysia dan Singapura, terutamanya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. Justeru, saya melihat ada ruang besar untuk kita bekerjasama memperluaskan produk pelancongan yang lebih kreatif dan berimpak tinggi,” kata King Sing dalam laman sosial hari ini.

Beliau berkata, beberapa cadangan telah dikemukakan termasuk promosi bersama, kerjasama dengan pengusaha dusun durian, serta pertukaran pelajar antara Malaysia dan Xinjiang.
“Kita turut membincangkan potensi kerjasama penerbangan carter antara kedua-dua destinasi. CYTS memaklumkan bahawa Malaysia merupakan salah satu pasaran utama bagi pelancong dari Xinjiang.
“Jika penerbangan carter dua hala dapat direalisasikan, ia mampu mengurangkan kos keseluruhan dan memberi manfaat bersama,” ujarnya.
Menurut King Sing, idea percutian bertemakan durian mendapat sambutan yang luar biasa sebelum ini dan ia dilihat sebagai satu tarikan unik yang boleh dijadikan pemacu baharu pelancongan negara.
“Saya percaya hubungan dua hala ini mampu melonjak ke tahap yang lebih tinggi dan membawa manfaat kepada kedua-dua pihak, selari dengan aspirasi kita menuju Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya lagi. – MalaysiaGazette














