KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka 46,086 kertas siasatan berkaitan kes jenayah siber sepanjang tahun lepas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia melibatkan dua jenis kategori jenayah siber iaitu jenayah dibantu siber dan jenayah bergantung kepada siber.
“46,086 kertas siasatan itu dibuka di bawah Kanun Keseksaan, Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Melalui PDRM agensi penguatkuasaan undang-undang terbesar di negara kita, peranan besar kita ialah semua jenis jenayah siber,” katanya ketika sesi jawapan menteri dalam sidang Parlimen hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan bilangan kes jenayah siber yang dilaporkan sepanjang 2024 dan menyatakan langkah KDN bagi meningkatkan tahap keselamatan digital rakyat.
Menurut Saifuddin, jenayah dibantu siber adalah jenayah tradisional yang dipermudah dan diperluaskan melalui teknologi seperti penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu atau bahan lucah.
“Manakala jenayah bergantung kepada siber pula ialah jenayah yang hanya boleh berlaku melalui teknologi digital contohnya godam, malware dan pitching,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan membuat pindaan kepada Kanun Keseksaan dengan memasukkan 424A dan 424B di mana kadar penalti dinaikkan dari RM1,000 kepada RM10,000 ketika ini.
“Sebelum ini khusus untuk mengawal akaun keldai, penipuan dalam talian di mana pelakunya guna kad ATM orang lain, kad kredit orang lain, e-wallet orang lain sebagai instrumen pembayaran.
“Kita pinda Kanun Tata Cara Jenayah, Akta 593 supaya kalau sebelum itu pegawai polis ada kuasa sita bekukan akaun itu sekat transaksi kewangan, dulu pangkatnya inspektor, kini kita bagi kuasa itu kepada Sarjan.
“Yang paling penting kita nak bendung lapisan dan sekat aliran duit,” katanya.
Katanya lagi, Malaysia kini dalam fasa untuk menyertai Konvensyen Budapest di Vietnam pada Oktober ini.
“Malaysia akan tandatangan konvensyen PBB berkaitan jenayah siber bagi mengukuhkan kerjasama dalam siasatan, pertukaran bukti digital dan ekstradisi pelaku jenayah siber, perkongsian maklumat dan risikan bersama interpol dan FBI.
“Kalau tiada halangan kita akan tandatangan pada Oktober 2025 di Vietnam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















