GEORGETOWN – Ketirisan dan penyelewengan dalam sektor awam bukan sahaja menjejaskan pengurusan kewangan negara malah menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, dana awam adalah nadi pembangunan negara yang perlu diurus dengan penuh akauntabiliti.
Ini kerana penyelewengan dan kelemahan sistem kawalan dalaman membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, pembaziran serta membebankan rakyat.
“Antara beberapa kes utama yang memberi impak besar penyelewengan dana awam negara, antaranya Op Water Sabah melibatkan penyelewengan projek bekalan air bernilai RM3.3 bilion serta kes bekas pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan yang disabitkan dengan 96 pertuduhan berkaitan pemalsuan dan pengubahan wang haram.
“Selain itu, SPRM juga berjaya menyita pelbagai aset mewah bernilai lebih RM3.5 bilion dan melucut hak hampir RM28 bilion dalam tempoh lima tahun lalu.
“Ini membuktikan iltizam kami untuk memastikan dana awam tidak terus disalah guna. Kepada yang bermewah-mewah dengan wang rasuah, SPRM akan ambil semula wang ini kerana ia adalah wang rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Seminar Kewangan dan Pengauditan Sektor Awam (SKPSA) 2025 bertemakan “Integriti Kewangan: Menguatkuasakan Kepatuhan dan Pencegahan Penyelewengan dalam Perkhidmatan Awam” anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Bahagian Analisa Kewangan, SPRM di Hotel Bahang Bay di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UUM, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah Bee; Timbalan Dekan Pusat Pengajian Perakaunan UUM, Dr. Mohd Hadzrami Harun Rasit; Pengerusi SKPSA 2025; Prof. Madya Dr. Basariah Salim serta barisan pegawai kanan universiti dan peserta seminar dari seluruh negara.
Azam turut menyentuh cadangan pembentangan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan yang akan dibawa ke Parlimen tahun ini bagi memperkukuh sistem perolehan kerajaan yang lebih telus, sistematik dan berlandaskan undang-undang.
Dalam pada itu, beliau menyeru supaya perlindungan kepada pemberi maklumat (whistleblower) terus diperkasa menerusi pelaksanaan yang lebih berkesan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan transformasi digital dalam sistem kewangan dan perolehan kerajaan dengan memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain dan analitik data bagi mengesan transaksi mencurigakan serta mencegah rasuah secara lebih awal.
Beliau turut menyeru akauntan dan juruaudit sektor awam agar berani melaporkan penyelewengan serta ketidakpatuhan tanpa rasa takut demi mempertahankan integriti perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette















