Rohaizad menunjukkan suspek menyimpan bunga ganja di bahagian but kereta bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

SEBERANG PERAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan dua lelaki menyeludup lebih 52 kilogram bunga ganja yang dianggarkan bernilai RM5.1 juta dalam satu operasi khas di Kedah.

Rampasan itu dilakukan oleh Cawangan Narkotik JKDM Pulau Pinang hasil risikan bersama Ibu Pejabat JKDM dan JKDM Zon Utara di susur keluar Tol Sungai Petani Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada 29 Jun lalu.

Pengarah Kastam Negeri, Rohaizad Ali berkata, tangkapan dilakukan ke atas dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit membawa kepada penemuan tiga guni berisi ketulan mampat dadah disyaki bunga ganja seberat 52.047 kilogram yang dianggarkan bernilai RM5.1 juta.

Rohaizad.

“Dua guni disembunyikan di ruang but manakala satu lagi diletakkan di tempat duduk penumpang belakang,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam Negeri di Perai hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui utara Semenanjung untuk pasaran selatan tanah air.

“Suspek dikesan menggunakan taktik menyimpan dadah dalam kenderaan persendirian yang disewa bagi mengelak daripada menimbulkan syak wasangka kepada pihak berkuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast