Sekitar Majlis Perasmian Penutupan GRIP Kelab Rukun Negara Peringkat Kebangsaan tahun 2025 di SMK Tengku Afzan, Kuantan, di sini hari ini.

KUANTAN – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) telah melancarkan Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) Kelab Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 hari ini.

Ia merupakan inisiatif berwajah baharu setelah menggabungkan kesemua intipati utama program sedia ada Kementerian iaitu Program Kenali Kita, Kem Perpaduan Anak Malaysia serta program silang budaya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, program itu akan dikembang dan dilaksanakan di semua negeri secara berfasa mulai tahun ini.

“Pelaksanaan program GRIP memenuhi keperluan untuk memperkasa aktiviti kurikulum dan kokurikulum merentas etnik, selari dengan syor utama yang digariskan dalam Laporan Indeks Perpaduan Sekolah 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha KPN, Mohamad Sobri Mat Daud ketika Majlis Perasmian Penutupan GRIP Kelab Rukun Negara Peringkat Kebangsaan tahun 2025 di SMK Tengku Afzan di sini hari ini.

Program yang berlangsung selama empat hari itu melibatkan 200 pelajar pelbagai kaum dan etnik daripada 16 kontinjen mewakili setiap negeri dan Wilayah.

Tambah Aaron, GRIP bukan sahaja memberi penekanan terhadap aspek silang budaya dan interaksi antara kaum malah turut mendokong usaha memperkukuh jati diri nasional dalam kalangan generasi muda secara menyeluruh, bersepadu dan berstruktur.

Selain berasaskan pendekatan pembelajaran interaktif dan pengalaman langsung, Program GRIP turut disusun secara sistematik melalui tiga kluster utama.

Pertama, Kluster Kenegaraan, yang memberikan penekanan kepada pemahaman dan penghayatan terhadap Sejarah Pembentukan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Kedua, Kluster Budaya dan Adat Resam, yang merangkumi informasi kepada makanan tradisi, pakaian, perayaan, persembahan seni rakyat, permainan tradisional serta hasil kraf tangan pelbagai etnik.

“Manakala yang Ketiga adalah Kluster Nilai-Nilai Murni yang mengangkat aspek sivik dan moral,” jelasnya.

Beliau berkata, program itu diyakini akan memberi nilai dan pengalaman yang akan membentuk murid-murid menjadi ejen perpaduan di sekolah dan dalam komuniti seterusnya membina sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu, inklusif dan bertanggungjawab. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast