ASEAN merupakan rantau yang sedang mendapat perhatian dunia. Diunjurkan sebagai rantau ekonomi kelima terpenting di dunia, ASEAN bukan sahaja sedang pesat membangun.
Tetapi, cara dan pendekatan ASEAN mengolah sistem serta keupayaan pertahanannya mengikut perkembangan geopolitik semasa, sentiasa menarik minat semua pihak.
ASEAN Outlook on the Indo Pacific (AOIP) adalah contoh penting bagaimana ASEAN pantas mengadaptasi peranannya dalam mendepani idea Indo-Pasifik.
Beberapa tahun kebelakangan ini, ada cadangan yang dilontarkan mengenai penubuhan “Asian NATO” di rantau ini oleh negara Jepun. Dan saranan bekas penolong setiausaha pertahanan Amerika Syarikat (AS), Ely Ratner untuk menubuhkan sebuah penubuhan pertahanan kolektif serantau Indo-Pasifik.
Sebagai institusi utama di rantau ini, ASEAN wajar menganalisis cadangan ini bagi memastikan Asia Tenggara kalis konflik serta kekal aman dan selamat. ASEAN perlu memastikan sebarang elemen pertahanan dan keselamatan adalah untuk mengurangkan ketegangan, bukan sebaliknya.
Konsep Asian NATO dan pertahanan kolektif adalah perkara yang sangat tidak selari dengan prinsip ASEAN dan Asia Tenggara. Pelbagai faktor dalaman dan geopolitik menjadi halangan besar untuk ASEAN berfikiran dan berusaha ke arah itu.
Seperti yang kita tahu, negara-negara anggota ASEAN sendiri sangat menitikberatkan prinsip berkecuali, tidak campur tangan, dan konsensus dalam menentukan dasar luar. Hal ini berbeza sama sekali dengan pendekatan NATO yang berorientasikan kuasa dan penyatuan pertahanan ketenteraan secara kolektif. Malah, jika dianalisis secara lebih terperinci, terdapat beberapa perkara yang menunjukkan ASEAN tidak berada pada kedudukan untuk menjadi seperti NATO.
Pertama, jika ASEAN berusaha meniru atau menjadi NATO, ia akan menimbulkan konflik besar terhadap dasar berkecuali dan hubungan luar yang telah terjamin sejak penubuhannya. ASEAN lebih menghargai kestabilan melalui hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi, bukannya kerjasama ketenteraan. Ini bermakna, konsep pengintegrasian ketenteraan secara total di seluruh rantau ini tidak sesuai dengan landasan ASEAN.
Kedua, sumber kewangan dan kekuatan pertahanan yang lemah dan tidak mencukupi di peringkat nasional dan ASEAN. Kekuatan pertahanan NATO yang kuat merupakan satu hasil akhir yang dicapai melalui usaha berpanjangan menggunakan suntikan dana yang sangat besar. Sumbangan mencecah berbilion dolar dan pelbagai sumber strategik dari angkatan tentera terbesar dunia seperti Amerika Syarikat menjadikan NATO satu kerjasama yang unik dan tersendiri. Di tambah pula dengan komitmen perbelanjaan 5% dari Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) oleh rakan sekutu NATO, ini adalah di luar kemampuan negara Asia dan Asia Tenggara. Perkara ini tidak boleh disamakan dengan kemampuan negara-negara ASEAN. Kekuatan negara-negara anggota ASEAN bukan sahaja berbeza daripada segi kapasiti, malah hala tuju dan strategi masing-masing.
Bagi Malaysia misalnya, kita lebih cenderung untuk memfokuskan kepada usaha membina keupayaan dalam aspek-aspek seperti keselamatan siber dan pemodenan aset. Yang Berhormat Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin sering menghujahkan keperluan Malaysia untuk menjayakan agenda pemodenan aset Angkatan Tentera Malaysia. Malah, beliau pernah menjelaskan secara terperinci akan keperluan Malaysia untuk memberi perhatian kepada bidang keselamatan siber dan menumpukan fokus kepada kemunculan teknologi-teknologi disruptif yang baharu seperti AI dalam pertahanan. Perkara tersebut ditekankan semasa membentangkan pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan pada tahun lalu.
Selain itu, susulan penyertaan bersama delegasi MINDEF dalam persidangan berkaitan pada 9-10 September 2024 di Seoul, Korea Selatan, Menteri Pertahanan Malaysia tersebut turut memberi gambaran bahawa AI dalam sektor pertahanan mesti menjadi antara fokus utama Malaysia. Kesemua ini merupakan satu hala tuju dan fokus yang sangat tepat kepada Malaysia. Malah, keseriusan dan pandangan konstruktif Menteri Pertahanan Malaysia dalam menganalisis cabaran yang dihadapi oleh kita ini harus menjadi perkara yang diangkat sebagai agenda nasional oleh Kerajaan.
Namun, perkara tersebut sudah pastilah eksklusif kepada Malaysia. Fokus dan strategi MINDEF ini, sekali pun berada pada landasan yang betul kepada Malaysia, tidak semestinya akan menjadi perkara tersebut sebagai fokus yang betul kepada negara-negara lain di rantau ini. Laos, Kemboja, Myanmar dan Thailand misalnya, sudah pastilah akan lebih menumpukan kepada konflik sempadan antara mereka. Filipina dan Viet Nam, akan cenderung memberi penekanan kepada keupayaan untuk berhadapan dengan kuasa besar seperti China di Laut China Selatan. Malah, negara-negara ASEAN lain seperti Singapura dan Indonesia sebenarnya mempunyai kedudukan dan kekuatan ketenteraan yang agak tinggi berbanding negara-negara anggota yang lain. Maka, untuk Asia dan ASEAN membentuk satu pendekatan dan pakatan tentera yang setara atau mirip dengan NATO adalah agak tidak realistik.
Ketiga, sejarah, politik dan sensitiviti nasional di setiap negara ASEAN menyebabkan setiap negara lebih terarah untuk menguruskan isu masing-masing dengan cara tersendiri berbanding mengangkatnya menjadi isu serantau. Berbeza dengan NATO yang dibentuk atas asas ancaman yang jelas dari Kesatuan Soviet, ASEAN nyata mempunyai legasi sejarah dan nasionalisme yang lebih kompleks.
Selain itu, sebarang idea untuk mengubah ASEAN agar lebih bersifat dan bersikap seperti NATO akan menuntut perubahan besar dalam budaya politik dan dasar setiap negara anggota. Rakyat dan pemimpin di ASEAN cenderung menolak pendekatan ketenteraan dalam segala hal dan lazimnya akan lebih menumpukan dialog serta kerjasama yang tidak bersifat konfrontasi.
Atas kapasitinya sebagai Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin juga pernah menghujahkan dengan serius bahawa salah satu kelebihan utama ASEAN adalah sensitiviti serta rasa hormat negara anggota ASEAN kepada keadaan dalam negara-negara jirannya. Malah, dalam satu forum pertahanan dan keselamatan di Manila pada November 2024, Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro pernah menghujahkan kepentingan berbeza negara-negara ASEAN menjadikannya sukar untuk ASEAN menubuhkan satu pasukan ketenteraan bersama.
Masa untuk langkah seterusnya
Tanpa perlu meniru mana-mana model luar, ASEAN masih boleh memperkukuh kerjasama pertahanan dengan memanfaatkan kekuatan dan identitinya sendiri. Sehubungan itu, ASEAN boleh mempertimbangkan untuk memperdalam kerjasama dalam bentuk latihan bersama berskala lebih realistik, memperluas perkongsian maklumat perisikan, serta membangunkan pusat tindak balas pantas bagi keselamatan maritim dan siber. Usaha sebegini boleh digerakkan melalui kerangka sedia ada seperti ADMM-Plus Expert Working Groups (ADMM-Plus EWGs), dengan menyelaraskan inisiatif seperti ASEAN Cybersecurity Strategy 2026–2030 dan memperkukuh SOP serantau dalam bidang bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) dan siber.
Yang penting, ASEAN harus kekal berlandaskan prinsip konsensus dan tidak berkonfrontasi — namun tidak pula pasif. Sebaliknya, ia harus tampil sebagai blok yang bersedia menyesuaikan diri dengan cabaran keselamatan baharu, tanpa lari daripada semangat penubuhannya.
Oleh: Karisma Putera Abd Rahman, Bait Al Amanah
















