Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN–Besut) ditegur oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini selepas mempersoalkan urutan perjalanan sesi soal jawab yang didakwa tidak menyenaraikan soalannya.

Che Mohamad mendakwa satu-satunya soalannya yang dikemukakan berkaitan senarai calon Hakim Mahkamah Persekutuan telah tidak dipilih untuk dijawab oleh kementerian terlibat sekaligus menimbulkan tanda tanya terhadap ketelusan proses pemilihan soalan.

“Saya hanya ada satu soalan. Walaupun memang menjadi prerogatif menteri untuk memilih soalan mana yang hendak dijawab, apabila tiba waktunya, soalan saya langsung tidak ada dalam senarai.

“Persoalannya, kenapa tidak disenaraikan walaupun telah dimasukkan dalam aturan asal?” soalnya ketika sesi Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 JULAI 2025.

Susulan itu, Johari menjelaskan, pemilihan soalan tidak dibuat oleh pihak menteri sebaliknya ditentukan oleh pejabat Speaker berdasarkan jadual persidangan serta kehadiran menteri untuk menjawab.

Bagaimanapun, Che Mohamad kemudiannya mempersoalkan kewajaran ahli Parlimen mengemukakan soalan jika ia akhirnya tidak akan dipilih untuk disenaraikan.

Kenyataan itu mengundang reaksi tegas daripada Johari yang berkongsi pengalaman peribadinya sebagai ahli Parlimen selama 15 tahun sebelum menjadi speaker.

“Jangan kata tiada gunanya. Saya pernah duduk di kerusi itu selama 15 tahun. Sepanjang satu penggal penuh, satu pun soalan saya tidak terpilih.

“Saya pergi berjumpa dengan speaker pada masa itu dan minta agar soalan saya dibangkitkan, begitulah caranya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast