Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan percanggahan kenyataan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung serbuan ke atas program yang didakwa perjumpaan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Pengkalan Chepa, Kelantan baru-baru ini.

Datuk Ahmad Saad (PN–Pokok Sena) berkata, pertembungan kenyataan antara dua agensi kerajaan itu menimbulkan tanda tanya dan menuntut penjelasan daripada pihak kerajaan di Parlimen.

“Saya ingin mendapat maklum balas kementerian berhubung isu tangkapan pesta gay baru-baru ini kerana terdapat percanggahan kenyataan terhadap program berkenaan. Ini suatu yang pelik.

“Pertembungan antara KKM dan PDRM. Dalam bahasa lain, siapa sebenarnya yang bercakap benar? Atau siapa yang menipu?

“Polis Kelantan mengesahkan tiada penglibatan NGO, klinik kesihatan mahu pun KKM dalam acara berkenaan. Bahkan pegawai daripada NGO atau agensi kementerian sendiri tidak muncul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad turut menggesa kerajaan memperjelaskan sama ada tindakan PDRM menyerbu program itu dianggap mencabuli hak asasi manusia atau sememangnya acara itu bertentangan dengan undang-undang tetapi berselindung di sebalik nama kesedaran kesihatan.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar kerjasama antara SUHAKAM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diperkukuh khususnya dalam mengharmonikan prinsip hak asasi manusia dengan maqasid syariah.

Katanya, pendekatan terhadap isu-isu seperti pemakaian tudung oleh wanita Muslim serta etika berpakaian sopan di premis kerajaan perlu dinilai berdasarkan keharmonian antara hak asasi dan prinsip syarak.

“Apa yang berlaku ialah sebahagian isu hanya dinilai daripada segi aspek hak asasi sehingga mengetepikan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh syarak.

“Asas hakiki bagi suatu hak asasi itu sendiri adalah mematuhi syariat sebagaimana yang ditaklifkan oleh syarak,” ujarnya.

Semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan serbuan tersebut dilakukan berdasarkan maklumat risikan dan bukti yang sah serta menafikan wujudnya unsur diskriminasi dalam tindakan itu.

Beliau turut menegaskan tiada sebarang bukti menunjukkan program berkenaan mendapat kelulusan atau pemantauan daripada mana-mana pihak berautoriti termasuk NGO atau KKM.

Namun begitu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini menyatakan program tersebut merupakan program kesedaran kesihatan berkaitan HIV, sekali gus mencetuskan kekeliruan mengenai status sebenar penganjuran acara terbabit.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast