KUALA LUMPUR – Parti Progresif Rakyat (PPP) Malaysia kecewa berhubung pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said tiada tindakan undang-undang terhadap Zamri Vinoth dan Firdaus Wong.
Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan menyifatkan ia bukan sahaja mengecewakan malah mencabar asas prinsip kedaulatan undang-undang di Malaysia.
“Pada ketika negara berusaha memperkukuh perpaduan dan memupuk rasa saling menghormati antara masyarakat berbilang kaum, kegagalan mengambil tindakan terhadap pelanggaran berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) memberi isyarat yang sangat membimbangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loga Bala menegaskan doktrin kesamarataan di sisi undang-undang mesti ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Kegagalan bertindak dalam kes ini menimbulkan persoalan besar mengenai penguatkuasaan terpilih dan sama ada sempadan 3R yang termaktub dalam undang-undang kita dilaksanakan secara adil dan konsisten,” dakwnya.
Menurut Loga Bala, setiap daripada lebih 900 laporan yang dibuat adalah suara rakyat Malaysia yang mempercayai sistem perundangan dan memilih jalan yang sah untuk mendapatkan keadilan.
Dalam pada itu, beliau juga memberi amaran bahawa kegagalan bertindak dalam isu ini berisiko meruntuhkan keyakinan awam terhadap institusi perundangan khususnya dalam kalangan generasi muda.
Ini juga katanya akan memberi isyarat berbahaya bahawa ucapan kebencian dan provokasi boleh dibiarkan tanpa tindakan walaupun suara rakyat jelas mendesak keadilan.
“Kita seru Jabatan Peguam Negara (AGC) dan semua pihak berkuasa berkaitan untuk melakukan semakan menyeluruh dan telus terhadap bukti serta mengambil tindakan undang-undang tanpa berlengah terhadap mana-mana individu melanggar undang-undang berkaitan 3R tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mereka.
“Undang-undang mengenai kaum, agama dan institusi diraja bukanlah pilihan sebaliknya ia adalah asas. Keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan, tetapi mesti dilihat dan dirasai oleh semua rakyat Malaysia,” tegasnya.
Kelmarin, Azalina memaklumkan di Parlimen bahawa polis telah membuka kertas siasatan berdasarkan aduan yang diterima namun AGC tidak menemui bukti mencukupi untuk meneruskan pendakwaan terhadap kedua-dua individu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Vigneswaran dakwa layanan berat sebelah kes Zamri Vinoth, Firdaus Wong
















