KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesahkan tiada isitilah dadah ‘magic mushroom’ dikesan dalam cecair vape seperti dakwaan yang tular sebelum ini.
Pengarahnya, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu disahkan Jabatan Kimia selepas menjalankan pemeriksaan ke atas dadah yang dirampas pihaknya.
“Dakwaan tular mengenai cendawan kering atau titisan cecair halusinogen semulajadi adalah tidak tepat malah ia merupakan manipulasi pengedar yang melabelkan bahan sintetik sebagai ‘cendawan ajaib’.
“Setakat ini, pihak berkuasa hanya mengesahkan kewujudan bahan sintetik dalam vape dan tiada bukti rasmi ditemui mengenai penjualan cendawan kering sebenar atau campuran dadah dalam coklat atau gula-gula seperti yang digembar-gemburkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau pihak polis memandang serius dan ia amat membimbangkan dalam kalangan pelajar sekolah walaupun kes-kes seumpama ini masih terpencil.
“Bagaimanapun, JSJN sudah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan risikan berhubung dakwaan vape magic mushroom di seluruh negara.
“Sepanjang 2024 sehingga Mac lalu, sebanyak 64 kes rampasan cecair vape direkodkan, termasuk 32 kes yang dicatatkan untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
“Ia menunjukkan trend peningkatan dan bahan terlarang utama dikesan adalah ganja sintetik seperti MDMB-4EN-PINACA dan analognya.,” jelasnya.
Katanya, modus operandi ini menggambarkan penggunaan bahan psikoaktif yang dicampurkan ke dalam cecair vape sebagai medium penghantaran dadah.
“Terdapat juga kes pencampuran dadah stimulan seperti methamphetamine dan MDMA, yang amat membimbangkan kerana memperkenalkan bentuk penyalahgunaan baharu melalui peranti elektronik ini.
“Majoriti kes mengesahkan kewujudan dadah terlarang membuktikan bahawa penyalahgunaan vape sebagai medium penghantaran dadah adalah nyata dan perlu ditangani serius,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tular tanpa pengesahan kerana boleh mencetuskan panik yang tidak berasas.
Hussein menjelaskan, sebaliknya merujuk maklumat sahih daripada sumber rasmi seperti polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atau agensi kesihatan.
Beliau juga mencadangkan supaya elemen pendidikan berkaitan bahaya vape sintetik dimasukkan ke dalam silibus pembelajaran dan kempen kesedaran secara berterusan juga wajar dilaksanakan, terutama dalam kalangan pelajar. – MalaysiaGazette















