HULU KELANG – Di tengah pesatnya pembangunan Lembah Klang, masih ada komuniti yang hidup di pinggir arus pembangunan dan menunggu pembelaan yang seakan tidak kunjung tiba.
Kampung Seri Inai di sini yang telah wujud lebih tiga dekad di atas rizab sungai terus menjadi saksi bagaimana isu setinggan bandar masih belum menemui penyelesaian menyeluruh.
Menyedari hakikat itu, Bendahari Keadilan (PKR) Gombak, Datuk Zainol Abidin terus menggalas tanggungjawab memperjuangkan nasib penduduknya.
Baru-baru ini, beliau turun padang menyerahkan 36 bakul makanan kepada penerima daripada Kampung Seri Inai dalam satu program yang turut disertai majlis ramah mesra bersama penduduk setempat.
“Kampung Seri Inai ini bukan penempatan baru. Ia sudah wujud lebih 30 tahun tetapi penduduknya masih belum mendapat pembelaan sewajarnya. Mereka adalah warganegara yang berhak menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Ini juga bukanlah kali pertama saya turun membantu seperti ini sebaliknya sudah kerap dan selalu,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Zainol menegaskan kehadirannya ke Kampung Seri Inai bukan hanya untuk memberi bantuan keperluan asas tetapi sebagai simbol komitmen berterusan dalam memperjuangkan isu yang melanda masyarakat setinggan bandar.
“Sejak 2010, saya telah membantu penduduk Kampung Seri Inai sama ada melalui kapasiti saya sebagai Ahli Majlis MPAJ atau pun secara individu.
“Ini bukan soal politik semata-mata tetapi soal kemanusiaan dan keadilan sosial. Perjuangan untuk mereka mesti diteruskan,” jelasnya.
Menurut beliau, isu setinggan bandar seperti Kampung Seri Inai memerlukan penyelesaian komprehensif melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan persekutuan.
“Masalah penempatan setinggan tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan sementara. Kita perlukan dasar yang tegas dan menyeluruh supaya komuniti seperti ini tidak terus terpinggir daripada arus pembangunan,” ujarnya.
Beliau menambah, program bakul makanan seperti ini mungkin kelihatan kecil tetapi ia membawa makna besar kepada penerima di samping mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
“Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka, tetapi lebih penting, ia menjadi ruang untuk kita mendengar sendiri masalah dan harapan mereka.
“Kita mahu mencari penyelesaian jangka panjang agar generasi seterusnya tidak lagi mewarisi kehidupan setinggan yang serba kekurangan,” tegasnya.
Program ini turut membuka ruang dialog antara penduduk dan pemimpin setempat mengenai keperluan infrastruktur asas, isu pemilikan tanah, dan masa depan penempatan itu.
“Perjuangan ini belum selesai. Saya akan terus bersama mereka, mencari titik noktah untuk mendapat kehidupan yang lebih bermaruah dan terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette
















