Tertuduh, duda berusia 27 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka hari ini atas pertuduhan mencabul dan menunjukkan kemaluan kepada dua anak perempuan tirinya berusia 5 dan 6 tahun antara Mei hingga Julai lalu.

ALOR GAJAH – Seorang duda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul dan menunjukkan kemaluan kepada dua anak perempuan tirinya berusia 5 dan 6 tahun antara Mei hingga Julai lalu.

Pembantu pemasaran produk kosmetik berusia 27 tahun itu membuat pengakuan berkenaan sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia 5 dan 6 tahun dengan cara memegang kemaluan mangsa.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Tertuduh juga berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal bukan fizikal dengan cara menunjukkan kemaluannya kepada dua beradik itu.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) AKSTK 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukan di dalam sebuah bilik, dapur dan bilik air di Taman Seri Pelangi, Rumbia dalam daerah Alor Gajah pada waktu malam antara 11 Mei dan dan 5 Julai 2025.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan.

Peguam Mohd. Anif Rafih yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan berjumlah RM12,000 dengan alasan tertuduh yang juga seorang duda bekerja sebagai pembantu pemasaran dalam talian produk kosmetik dengan pendapatan bulanan RM2,000.

Selain itu, anak guamnya juga menanggung kedua-dua mangsa dan seorang anak kandungnya berusia dua tahun yang kini dijaganya ibu tertuduh di Pendang, Kedah.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 25 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast