KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) kecewa dengan kenyataan beberapa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang menyarankan supaya mahasiswa tidak turun menyertai Himpunan Turun Anwar, esok.
Presidennya, Mohammad Azamuddin Sahar berkata, kenyataan itu yang disandarkan atas alasan ‘menghormati demokrasi berparlimen’ dan `berhemah dalam menyuarakan pendapat’ dilihat sebagai satu bentuk normalisasi terhadap ketakutan serta cubaan melembutkan suara mahasiswa demi menjaga imej institusi.
Sedangkan, menurut beliau, dalam situasi rakyat ditekan dengan beban kos sara hidup, dasar fiskal yang menghimpit dan keperluan mendesak untuk suara semak dan imbang, mahasiswa tidak boleh terus dinasihatkan menunggu masa dan tempat yang kononnya lebih sesuai.
“Apatah lagi apabila suara yang mahu dibawa itu bersifat aman, berfakta, dan berprinsip.
“Berhemah bukan bererti berdiam. Demokrasi tidak pemah menuntut kepatuhan membuta tuli, sebaliknya keberanian untuk menyuarakan kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut Mohammad Azamuddin, pihaknya juga menolak keras penggunaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai alasan untuk menyekat keterlibatan mahasiswa pada himpunan aman esok.
Dakwanya, pindaan undang-undang itu telah membuka ruang sah untuk penglibatan pelajar dalam wacana dan aktivisme awam, selagi tidak bercanggah dengan undang-undang dan dilakukan secara aman.
Sehubungan itu, ujarnya, adalah tidak wajar MPP terus menggunakan AUKU yang sudah tidak relevan dengan zaman ini dan MPP seharusnya menjadi suara mahasiswa, bukan jurucakap untuk pihak kerajaan.
“Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan juga jelas menyatakan hak kebebasan untuk bersuara dan juga berhimpun,” katanya.
Tambah beliau, mahasiswa bukan sekadar entiti akademik, tetapi pewaris tanggungjawab sosial dan suara hati rakyat.
Sehubungan itu, ujarnya, Gamis berdiri teguh bersama gerakan mahasiswa dan rakyat yang memilih untuk menyatakan pendirian secara aman dan berprinsip. – MalaysiaGazette
















