KUALA LUMPUR – Sebanyak 950 notis dikeluarkan pada Ops Kesan 4.0 yang dilaksakan pada 1 hingga 24 Julai lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
Dalam masa yang sama katanya, KPDN turut menerima 23 aduan untuk siasatan lanjut.
“Manakala statistik di KPDN Kedah mencatatkan sebanyak 62 premis telah diperiksa melibatkan 240 jumlah Stock Keeping Unit (SKU).
“Bagi keperluan membekalkan maklumat berkaitan barangan atau perkhidmatan, sebanyak 62 notis telah dikeluarkan di bawah peruntukan Seksyen 21 Akta 723 tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Fuziah dan penguat kuasa KPDN Kedah hari ini menjalankan pemeriksaan di TF Value Mart dan MYDIN Wholesale Hypermarket, Alor Setar.
Jelasnya, pemeriksaan tersebut bertujuan untuk mengesan sebarang kenaikan harga yang tidak berasas serta memastikan pematuhan terhadap harga terkawal dan barangan keperluan utama seperti minyak masak, gula, tepung, beras, telur dan ayam.
Tambahnya, penilaian turut merangkumi semakan terhadap amalan pencatutan berdasarkan Akta 723.
“Individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi syarikat, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Ops Kesan 4.0 diadakan susulan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Operasi berkenaan bertujuan mengawal sebarang pergerakan harga barangan dan caj perkhidmatan tanpa asas yang kukuh, sejajar dengan usaha kerajaan memastikan kestabilan harga dan melindungi hak pengguna.-MalaysiaGazette
















