KUALA LUMPUR – Sepasang kekasih ditahan polis selepas disyaki mencuri sebanyak 26 unit nozel paip bomba dari sebuah pangsapuri di Semenyih, Kajang, pada 30 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu daripada seorang lelaki yang juga penyelia pengawal keselamatan pangsapuri terbabit pada jam 10.00 pagi.
Susulan laporan itu, sepasukan polis telah menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan masing-masing berusia 43 dan 44 tahun kira-kira jam 10.30 malam semalam.
“Nozel paip bomba telah dipotong dan hilang, disyaki dicuri oleh individu yang tidak dikenal pasti.
“Hasil siasatan mendapati sebanyak 26 unit nozel paip bomba dari tingkat lima hingga tingkat 17 telah dicuri oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis turut mengesan satu video tular di media sosial yang dipercayai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah berhampiran, memaparkan kejadian tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati suspek lelaki mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes narkotik dan satu rekod jenayah.
“Suspek wanita pula mempunyai lapan rekod lampau narkotik serta lima rekod jenayah,” ujarnya.
Ujian air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Kedua-dua mereka itu direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad nanti bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Karunagaran di talian 012-2449414 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















