Dr Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Pendedahan Datuk Seri Rafizi Ramli tentang isu kontroversi melibatkan Datuk Farhash Wafa Salvado memang merungsingkan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zakarshi berkata, betul kata Rafizi isu ini memberi kesan buruk kepada perdana Menteri dan Kerajaan Madani.

Puad berkata, beliau tidak pernah berjumpa, apatah lagi bersemuka dengan Farhash.

Namun, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor ini mendakwa, ada yang menuduh Farhash cukup berpengaruh bukan sahaja dalam bisnes tetapi juga dalam perlantikan jawatan jawatan penting.

“Kita biasa dengar PM PM sebelum ini dikaitkan dengan panggilan seperti “Budak tingkat 4”, “SUSK power” dan “ADC (adikong) berpengaruh”. Kini nama Farhash pula jadi tumpuan,” katanya.

Menurutnya, suka tidak suka Farhash kena slow down sikit.

Kalau betul dia “genuine businessman” pergilah berniaga di luar negara, jauhkan diri daripada Pejabat Perdana Menteri, ujarnya.

Rafizi dalam kenyataan hari ini menggesa kerajaan memberi perhatian serius isu kontroversi membabitkan Datuk Farhash Wafa Salvador bagi mengelakkan ia menjadi beban besar kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun percaya kepada komitmen perdana menteri dalam membanteras rasuah, namun kata Rafizi, usaha tersebut tidak akan membuahkan hasil jika dilihat tidak konsisten khususnya apabila membabitkan individu yang rapat dengan pimpinan kerajaan.

“Jika Perdana Menteri rasa pelik kenapa sambutan rakyat tidak segah usaha-usaha yang sedang dilakukan, ia bermakna ada perkara lain yang mungkin mencacatkan usaha-usaha itu di mata rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, rakyat masih belum yakin sepenuhnya dengan kempen antirasuah kerajaan, meskipun pelbagai inisiatif pentadbiran Madani telah dijalankan.

Rafizi merujuk kepada tuduhan terbaru melibatkan Farhash yang merupakan bekas pembantu politik Anwar berhubung skandal lesen penerokaan mineral di Sabah melibatkan kawasan seluas 70,000 hektar.

Dakwa Rafizi, tuduhan itu disertakan dengan dokumen dan rakaman audio yang kini tersebar luas.

Rafizi berkata, sejak Anwar menjadi perdana menteri, Farhash tiba-tiba melonjak menjadi seorang niagawan yang ligat dan mula mempunyai kepentingan dari satu syarikat ke satu syarikat.

Ada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan beliau, kemudiannya mendapat kontrak perolehan yang besar dari kerajaan.

“Jumlah sebenar kontrak-kontrak perolehan kerajaan yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Farhash tidak diketahui umum,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast