Sebahagian individu peguam dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman dari perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JULAI 2025

ISU kebocoran minit mesyuarat Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) serta terdapat campur tangan dalam pelantikan hakim baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi, sama ada dari komentar media sosial hingga perbahasan terbuka. Hakikatnya, pelantikan yang diyakini rakyat bukan sekadar memilih individu berkelayakan, tetapi melalui sistem yang jelas, telus, dan boleh dipertanggungjawabkan.

Kepercayaan rakyat terhadap mahkamah turut dipengaruhi oleh akauntabiliti prosedur, di mana dalam artikel ini, kita akan menelusuri tiga dimensi integriti yang wajar diberi perhatian bagi tujuan memperkukuhkan ketelusan pelantikan, khususnya dalam JAC, serta mengambil pelajaran daripada beberapa sistem pelantikan hakim di negara-negara luar.

1. Mengatasi konflik kepentingan dalam struktur
Mengikut undang-undang semasa, JAC dianggotai oleh beberapa hakim kanan serta lima ahli yang dilantik Perdana Menteri. Secara praktikalnya majoriti anggota JAC dipilih oleh Perdana Menteri yang merupakan sebahagian struktur eksekutif. Ini menimbulkan persoalan bahawa adakah wujud prinsip “arms-length governance” iaitu pengasingan kuasa yang jelas antara pihak pembuat keputusan iaitu badan eksekutif dan badan kehakiman yang sepatutnya bersifat bebas.

Begitu juga ahli di kalangan hakim kanan yang mungkin boleh mempromosi rakan sejawat dalam membuat keputusan dan akhirnya mungkin menyebabkan konflik kepentingan. Sebagai perbandingan, di United Kingdom, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman berfungsi secara bebas dengan majoriti ahli bukan hakim atau ahli politik, memastikan prinsip pengasingan kuasa benar-benar dipraktikkan.

2. Semak imbang merentasi institusi
Terdapat contoh beberapa negara yang mana proses pelantikan hakim disemak melalui mekanisme Parlimen. Di Kanada, calon Mahkamah Agung melalui sesi soal jawab awam (public hearing) dengan satu jawatanjuasa dwipartisan di Parlimen sebelum dilantik oleh Perdana Menteri.

Di United Kingdom, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kekal bebas daripada pengaruh eksekutif. Namun mereka wajib membentangkan laporan tahunan proses pelantikan kepada Parlimen bagi memastikan ketelusan prosedur. Di Amerika Syarikat pula, calon Mahkamah Agung mesti menjalani pendengaran Senat sebelum diluluskan.

Di Malaysia setakat ini tiada mekanisme merentasi institusi untuk memantau JAC. Kuasa semakan hanya berlegar antara eksekutif dan badan kehakiman, sedangkan integriti yang kukuh memerlukan sistem “check and balance” yang lebih luas.

3. Ketelusan melalui ‘Negative Transparency’
Terdapat kes di Kanada dan United Kingdom yang memperkenalkan konsep “negative transparency”, di mana penolakan calon disertakan alasan umum yang bukan untuk
mempamerkan kekurangan individu, tetapi cukup untuk menunjukkan proses rasional dan telus.

Di Kanada, Jawatankuasa Pemilihan memberikan maklum balas bertulis kepada calon yang gagal, manakala Parlimen menerima laporan berkala tentang kriteria pemilihan. Di UK pula, mahkamah memutuskan calon berhak menerima ringkasan alasan penolakan, yang mana ia adalah langkah penting untuk memastikan proses tidak bersifat arbitrari. Konsep ini bukan sahaja mengurangkan persepsi pilih kasih atau diskriminasi, tetapi juga mengekalkan keyakinan kepada kalangan hakim dan masyarakat terhadap keadilan pemilihan.

Keperluan Reformasi Institusi
Desakan untuk mereformasi JAC bukan perkara baharu berikutan kenyataan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said. Beliau menjelaskan bahawa Akta JAC 2009 hanyalah peraturan bersifat pentadbiran, bukan undang-undang yang mengikat.

Fungsi JAC setakat ini hanya menapis dan mencadangkan nama kepada Perdana Menteri, tetapi keputusan akhir kekal bergantung kepada budi bicara eksekutif dan peruntukan Perlembagaan. Menurut Azalina, sebarang usaha untuk menjadikan proses ini lebih bebas memerlukan pindaan undang-undang, malah sebahagiannya melibatkan Perlembagaan sendiri. Ini bermakna reformasi bukan soal prosedur dalaman semata-mata, tetapi keputusan politik yang berani untuk mengubah keseimbangan kuasa.

Sekiranya penambahbaikan akta dilakukan, cadangan yang diketengahkan iaitu mengkaji semula konflik kepentingan dalam struktur JAC, mewujudkan mekanisme semak imbang merentasi institusi, dan memperkenalkan ketelusan melalui konsep ‘negative transparency’; ketiga-tiga dimensi ini boleh menjadi titik permulaan ke arah pembaharuan institusi. Pada akhirnya, reformasi institusi kehakiman tidak harus sekadar respons politik malah usaha untuk memastikan mahkamah kekal bebas dan dihormati.

Putri Noradyani Megat Hashim
Pengurus Penyelidikan, Nusantara Academy for Strategic Research NASR

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast