Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia (Armada) mempertikaikan langkah kerajaan menyalurkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 kepada semua golongan dewasa tanpa mengira tahap kekayaan sambil menyifatkannya sebagai bercanggah dengan prinsip subsidi bersasar yang dilaungkan kerajaan.

Ketua Penerangan Armada, Harris Idham Rashid berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar pada 23 Julai lalu menunjukkan ketidakselarasan polisi kerajaan apabila bantuan itu turut dinikmati individu terkaya di negara ini.

“Robert Kuok yang mempunyai nilai kekayaan sebanyak RM50.3 bilion juga mendapat bantuan RM100 daripada kerajaan.

“Sepatutnya, kerajaan menaikkan nilai bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan supaya lebih memberi impak, bukannya diagihkan kepada individu yang sudah mempunyai kekayaan luar biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harris turut mengulas pengumuman penurunan harga petrol RON95 sebanyak enam sen, daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter yang menurutnya hampir tidak memberi kesan kepada rakyat.

“Dalam konteks rakyat biasa, penurunan ini hampir tidak ada beza. Sebagai contoh, kenderaan Myvi dengan kapasiti tangki 36 liter, jika diisi penuh pada harga RM2.05 seliter, kosnya adalah RM73.80. Dengan harga baharu, kosnya RM71.64.

“Ini hanya penjimatan RM2.16, penurunan harga ini lebih bersifat kosmetik berbanding memberi manfaat sebenar kepada pengguna. Walaupun penurunan ini sedikit sebanyak menurunkan perbelanjaan, untuk penjimatan sebanyak RM2.16, ‘poster teaser’ yang dimuat naik sembilan hari lebih awal hanyalah boneka murahan.

“Ia sekadar untuk menghentikan jenaka rakyat berkenaan frasa terkenal Perdana Menteri iaitu ‘Hari ini ambil alih kerajaan, esok harga minyak turun’,” tegasnya.

Menurut Harris, penurunan harga tersebut juga hanyalah langkah sementara sebelum kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api.

“Selepas penyasaran subsidi dibuat, harga minyak akan naik semula, mungkin lebih daripada kadar sedia ada RM2.05 seliter,” tegasnya.

Beliau menyifatkan pengumuman itu sebagai langkah ‘memberi panadol kepada rakyat’ bagi meredakan kemarahan menjelang Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini.

“Armada juga ingin mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional kerana berjaya mendesak Perdana Menteri bertindak meringankan beban rakyat sekaligus membuktikan pembangkang memainkan peranan dengan berkesan,” katanya.

Harris menegaskan, pengumuman yang dibuat itu hanyalah usaha politik untuk mengurangkan tekanan terhadap kerajaan.

“Kesimpulannya, bak kata pepatah Melayu ‘indah khabar dari rupa’, tetapi pengumuman ini sebenarnya ‘indah teaser daripada intipati’,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast