Ribuan peserta Perhimpunan ‘Turun Anwar’ sudah mula berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Himpunan Turun Anwar anjuran blok pembangkang di Dataran Merdeka hari ini menarik kehadiran sekitar 18,000 peserta kata Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata perhimpunan yang bermula sejak awal pagi itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Sehingga pukul 5.30 petang, tiada laporan polis diterima berhubung sebarang kejadian berkaitan perhimpunan ini.

“Kita bersyukur kerana semuanya berjalan dengan baik walaupun mungkin ada satu atau dua perkara yang tidak dipersetujui di peringkat awal, namun ia dapat diselesaikan,” katanya ketika ditemui di lokasi petang ini.

Tambah Mohamed Usuf Jan, seramai 3,000 pegawai dan anggota PDRM ditugaskan mengawasi perjalanan perhimpunan tersebut termasuk mengawal aliran trafik serta keselamatan orang awam di sekitar Dataran Merdeka.

Beliau turut mengingatkan penganjur agar lebih telus dalam setiap perancangan penganjuran perhimpunan pada masa hadapan demi menjaga keselamatan orang ramai.

“Polis perlu menitikberatkan aspek keselamatan kerana ia adalah tanggungjawab utama kami. Apa sahaja insiden yang berlaku adalah di bawah tanggungjawab kami sepenuhnya.

“Kami akan sentiasa mengikut peruntukan undang-undang dan mempermudahkan perancangan untuk berhimpun. Sebagai rakyat Malaysia, tuan-tuan ada hak untuk berhimpun dan kami akan membantu dari segi kawalan keselamatan serta ketenteraman awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast