JOHOR BAHRU – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan dua pegawai penguat kuasa di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini malam tadi kerana terlibat dalam kegiatan salah laku flying passport.
Komander AKPS CIQ BSI, Roszita Dim berkata, suspek berusia 31 dan 49 tahun itu ditahan pada pukul 9 malam susulan pemantauan yang dijalankan terhadap kumpulan yang bertugas.
“Hasil pemantauan, pasukan Unit Pematuhan AKPS BSI mengesan beberapa kemasukan data pelawat yang meragukan melalui pengenalan diri (ID) pengguna seorang pegawai yang bertugas di kaunter zon kereta.
“Unit Pematuhan AKPS BSI turut mengesan data pelawat asing yang berada dalam kategori pelawat bermasalah yang memerlukan tindakan pembetulan ralat oleh penyelia bertugas.
“Unit Pematuhan AKPS BSI juga mengesan tindakan pelepasan ralat terhadap data pelawat bermasalah yang telah dilakukan melalui ID seorang penyelia yang bertugas di zon motosikal,” katanya pada sidang media di Dewan Pelepasan Pelawat di CIQ BSI, di sini hari ini.
Roszita berkata, hasil tindakan pemeriksaan yang telah dijalankan di kaunter kereta telah menemukan wang tunai berjumlah RM2,800 serta dua unit telefon bimbit dalam simpanan pegawai.
Katanya, soal siasat yang dijalankan telah berjaya membawa kepada penemuan sejumlah 11 pasport warganegara China dan tiga pasport warganegara Indonesia dalam sebuah beg hitam disembunyikan di atas siling kaunter berlainan.
“Unit Pematuhan AKPS BSI turut merampas dua telefon bimbit milik penyelia di kaunter motosikal untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua pegawai tersebut ditahan oleh Unit Pematuhan AKPS BSI dan diserah kepada SPRM negeri Johor, pagi tadi untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kes juga telah dilapor kepada Ketua Unit Integriti AKPS Putrajaya.
“Ini adalah hasil risikan yang dijalankan dalam tempoh seminggu, kita juga masih menjalankan siasatan untuk mengetahui sudah berapa lama mereka melakukan perbuatan tersebut.
“Sama ada mereka ini bergerak dalam satu sindiket, kita juga masih menjalankan siasatan mengenainya,” ujarnya.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Roszita mengadakan sidang akhbar di Dewan Pelepasan Pelawat di CIQ BSI, Johor Bahru hari ini.
Antara barang yang dirampas daripada dia pegawai penguat kuasa terbabit
















