Bendahari Keadilan Gombak, Datuk Zainol Abidin.

KUALA LUMPUR – Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan hari ini disifatkan sebagai usaha pembangkang untuk menutup kegagalan pentadbiran mereka di peringkat negeri, kata Bendahari Keadilan Gombak, Datuk Zainol Abidin.

Beliau berkata, Pas selaku peneraju empat kerajaan negeri sehingga kini masih gagal menawarkan program kebajikan rakyat yang berkesan, memacu ekonomi negeri serta meningkatkan pendapatan rakyat dan negeri.

“Perhimpunan ini dianjurkan semata-mata untuk menutup kegagalan pentadbiran empat kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas yang masih tidak mampu melaksanakan apa-apa dasar yang benar-benar bermanfaat kepada rakyat.

“Kegagalan mereka dalam menjayakan agenda SG4 juga jelas kelihatan,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Zainol berkata, penglibatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam perhimpunan berkenaan bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada kes-kes besar yang sedang dihadapi pimpinan parti itu.

“Bersatu menyertai himpunan ini untuk mengaburi mata rakyat berhubung skandal besar seperti Jana Wibawa dan cuba menutup keretakan hubungan dalam parti, khususnya antara Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Azmin Ali,” ujarnya.

Mengulas kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam himpunan berkenaan, Zainol mendakwa ia lebih bersifat peribadi.

“Tun M hadir kerana dendam kesumat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta rasa cemburu terhadap kejayaan pentadbiran beliau.

“Ia juga satu bentuk protes Tun M terhadap kerajaan Madani, khususnya berhubung tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa kroninya,” dakwanya.

Menurut Zainol, keseluruhan himpunan ini tidak lebih daripada manifestasi rasa iri hati dan dendam politik pembangkang terhadap Anwar serta kerajaan pimpinannya.

“Himpunan ini bukannya untuk rakyat. Ia lebih kepada usaha menunggang rakyat bagi menutup kegagalan mereka serta menjatuhkan reputasi PMX,” tegas beliau. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast