PASIR GUDANG – Pembangkang boleh membawa usul tidak percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat minggu depan jika masih gagal memaksa Perdana Menteri turun dalam Himpunan Turun Anwar hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, peluang tersebut masih terbuka dan percaya Anwar sendiri tidak akan menghalang mereka jika mempunyai cukup wakil rakyat untuk undi tidak percaya.
“Pembangkang sudah dicabar berbuat demikian sebelum ini tetapi tidak mahu. Desakan melalui himpunan bukan cara yang sah dan tidak demokrasi.
“Kalau mahu turunkan Perdana Menteri perlu melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat atau pilihan raya umum (PRU).
“Kalau mahu juga Perdana Menteri turun sebelum PRU mesti melalui undi tidak percaya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Molek Kali Ke 25 di sini hari ini.
Himpunan itu yang dianjurkan oleh Perikatan Nasional (PN) bermula sejak pagi dan peserta berkumpul di empat lokasi sekitar pusat bandar sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka bagi menuntut Anwar meletakkan jawatan.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, perhimpunan itu tidak wajar dihalang kerana merupakan hak rakyat tetapi mesti berlangsung secara tertib dan aman.
Beliau memuji pihak penganjur kerana setakat awal petang ini tiada kejadian tidak diingini berlaku sekali gus menunjukkan mereka bertanggungjawab.
Pasa masa sama, Hassan turut memuji pihak kerajaan kerana membenarkan perhimpunan tersebut diadakan tidak seperti kerajaan sebelum ini.
“Kalau sebelum ini jika akan berlaku perhimpunan besar kerajaan akan keluar kenyataan takut-takutkan penganjur dan mereka yang hadir,” ujarnya.
Dakwanya, kemudian pihak polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan dikerahkan untuk menghalang dan memantau keadaan. – MalaysiaGazette
















