PENTAS Himpunan Turun Anwar yang didakwa diarahkan diturunkan. - Foto SUMBER MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu menempelak pihak penganjur Himpunan Turun Anwar yang mana penganjuran demonstrasi tidak sepatutnya melibatkan pembukaan pentas, penggunaan sistem suara, penganjuran trak makanan atau gerai jualan.

Ini kerana, ujar Ahli Parlimen Sepang berkenaan, sekiranya semua aktiviti itu turut diadakan, ia bukan lagi demonstrasi atau himpunan aman, sebaliknya merupakan sebuah karnival.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Sehubungan itu, jelas beliau yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), penganjuran karnival memerluan permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), sama seperti penganjuran yang dibuat pihak-pihak lain.

“Tak usahlah semua salahkan Polis dan PMX. Dah pernah jadi kerajaan, takkan itu pun tak faham.

“Lepas tu sebar pula maklumat palsu kepada penyokong kata himpunan diganggu dan dihalang untuk hasut timbulkan kemarahan dan tidak puas hati serta perasaan berbenci-benci. Ini kan tak baik sikap macam ni.

“Nak buat Karnival Perikatan Nasional nanti minta permit lain, hari ini teruskan himpunan saja,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan pihak berkuasa mengarahkan pihak penganjur Himpunan Turun Anwar membuka semula pentas yang didirikan di Dataran Merdeka.

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lanjnah Penerangan Pas Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, dalam satu hantaran di Facebook berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyita pentas itu walaupun pada awalnya ia sudah mendapat kebenaran pihak polis.

“Terkini!! DBKL sedang sita pentas yang telah dipersetujui semalam dengan Timbalan OCPD Dang Wangi. Apa cerita ni? Provokasi yang disengajakan?” katanya yang turut memuat naik video penguat kuasa sedang menyita pentas tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast