Peserta Perhimpunan ‘Turun Anwar’ sudah mula berkumpul di sekitar perkarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 26 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Laluan dari Masjid Jamek Sultan Abdul Samad ke Dataran Merdeka hari ini bergema dengan laungan ‘Turun Anwar’ dan ‘Bangkit, Bangkit’ apabila ribuan peserta mula berarak menuju ke lokasi akhir perhimpunan pembangkang itu.

Laungan itu diselangi bunyi hon kenderaan yang memberi isyarat sebagai sokongan moral kepada peserta yang berarak dalam keadaan panas terik di tengah ibu negara.

Difahamkan, selain kumpulan yang berarak dari Masjid Jamek, ribuan lagi peserta dijangka memulakan perjalanan dari pusat beli-belah Sogo menuju ke Dataran Merdeka, yang menjadi titik perhimpunan utama.

Malah, kumpulan peserta dari Masjid Negara dan Pasar Seni juga difahamkan masih dalam perjalanan ke Dataran Merdeka, menjadikan lokasi berkenaan mula dibanjiri peserta menjelang tengah hari.

Penganjur turut memaklumkan bahawa himpunan ini akan berlangsung sehingga jam 6 petang, tanpa mengira keadaan cuaca, sama ada panas terik atau hujan lebat.

Peserta Perhimpunan ‘Turun Anwar’ mula berkumpul di sekitar perkarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 26 JULAI 2025.

Menurut maklumat awal, pihak polis menjangkakan 10,000 hingga 15,000 peserta akan hadir dalam himpunan kali ini.

Bagaimanapun, penganjur daripada blok pembangkang mendakwa jumlah kehadiran boleh mencecah ratusan ribu orang, malah mereka optimis angka itu mampu meningkat sehingga hampir sejuta peserta menjelang kemuncak perhimpunan.

Sebahagian besar peserta dilihat mengenakan pakaian serba hitam sebagai tanda solidariti.

Namun, tinjauan mendapati terdapat segelintir peserta yang membawa anak-anak kecil walaupun pihak polis sebelum ini telah mengeluarkan arahan agar kanak-kanak tidak dibawa ke lokasi perhimpunan, terutama ketika cuaca panas melampau.

Kehadiran mereka dengan anak kecil di tengah perhimpunan menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan dan kesihatan golongan tersebut.

Keadaan setakat ini dilaporkan terkawal dengan kehadiran anggota pasukan keselamatan yang melakukan pemantauan di beberapa lokasi strategik bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara.

Anggota Polis (PDRM) membuat kawalan ketat pada Himpunan Turun Anwar di sekitar Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JULAI 2025.

Pihak polis turut menggunakan dron untuk memantau pergerakan peserta dan menilai keadaan semasa di kawasan berkenaan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, selain peserta tempatan, beberapa pelancong asing secara kebetulan turut berada di kawasan perhimpunan dan mereka kelihatan terkejut dengan kehadiran ribuan orang di lokasi tumpuan pelancong itu.

Setakat jam 12.30 tengah hari, peserta yang berada di Dataran Merdeka diminta berehat sehingga jam 2 petang sementara menunggu ketibaan pemimpin dan kumpulan peserta lain sebelum acara diteruskan.

Himpunan ini dianjurkan oleh gabungan pembangkang yang ditunjangi Pas sebagai simbol bantahan terhadap pentadbiran kerajaan sedia ada.

Berdasarkan pemerhatian, suasana setakat ini terkawal, namun bilangan peserta terus bertambah sejak pagi, menandakan himpunan ini bakal berlangsung dengan kehadiran besar menjelang petang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.