Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menyampaikan ucapan ketika hadir pada Perhimpunan ‘Turun Anwar’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 26 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan besar-besaran pembangkang ‘Turun Anwar’ di Dataran Merdeka hari ini melabuhkan tirai dengan ucapan penuh sindiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di hadapan puluhan ribu peserta yang majoritinya dipercayai terdiri daripada ahli dan penyokong Pas hadir dari seluruh negara.

Dr Mahathir, yang kini mencecah usia 100 tahun muncul pada kemuncak acara itu apabila tiba di lokasi selepas hujan reda dengan mengenakan pakaian serba hitam sekaligus disambut sorakan gemuruh.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir mengambil peluang menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes saman Mohamed Yusuff Rawther yang melibatkan imuniti mahkamah.

“Saya tidak perlukan imuniti seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes saman Yusuff Rawther,” katanya  disambut sorakan dan tepukan gemuruh peserta.

Ribuan peserta Perhimpunan ‘Turun Anwar’ sudah mula berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JULAI 2025.

Sebelum itu, seawal 8 pagi, peserta dilihat sudah mula memenuhi beberapa lokasi yang ditetapkan penganjur sebagai tempat perhimpunan.

Kumpulan ini berkumpul di Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan Kompleks Sogo sebelum berarak secara berperingkat menuju ke Dataran Merdeka dengan kordinasi pasukan amal Pas.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebelum ini berkata pihak polis akan membantu melancarkan perjalanan perhimpunan tersebut dengan sebanyak 16 jalan utama di sekitar ibu kota turut ditutup bagi memastikan kelancaran pergerakan peserta sepanjang program yang berakhir pada sebelah petang.

Ribuan peserta Perhimpunan ‘Turun Anwar’ sudah mula berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JULAI 2025.

Walaupun cuaca panas terik di sebelah pagi dan hujan lebat pada sebelah petang, semangat peserta dilihat tidak goyah, ramai yang berteduh di bawah payung atau mengenakan baju hujan plastik yang dibeli daripada peniaga berhampiran namun tetap kekal di lokasi sehingga ke penghujung acara.

“Walaupun basah kuyup, kami tetap berdiri sampai habis. Kami datang dari Kelantan kerana mahu tunjukkan suara rakyat. Kalau tak sanggup berhujan, lebih baik duduk rumah,” kata seorang peserta yang ditemui di tengah perhimpunan.

Bagaimanapun, tinjauan MalaysiaGazette mendapati masih terdapat ibu bapa yang membawa anak kecil ke perhimpunan itu walaupun penganjur dan pihak berkuasa beberapa kali mengingatkan supaya perkara itu dielakkan.

Ribuan peserta Perhimpunan ‘Turun Anwar’ sudah mula berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 26 JULAI 2025.

Kanak-kanak berusia seawal 3 hingga 10 tahun dilihat berhimpit bersama orang dewasa di bawah panas terik pada sebelah pagi sebelum terpaksa meredah hujan pada sebelah petang.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan berhubung keselamatan serta kesihatan mereka apatah lagi ketika perhimpunan berlangsung dalam keadaan sesak.

Di celah-celah ‘lautan manusia’, suasana turut meriah dengan deretan gerai kecil menjual pelbagai jenis makanan, minuman serta barangan kenangan bertemakan perhimpunan.

Terdapat jualan baju-T bercetak ‘Turun Anwar’, mafla, topi dan cenderahati lain dengan harga antara RM5 hingga RM30.

Ketika hujan mulai turun, sebahagian peniaga dilihat segera bertukar menjual baju hujan plastik serta payung kepada peserta menunjukkan kecekapan mereka mengambil peluang di tengah perhimpunan.

MalaysiaGazette yang sempat juga bercakap dengan pelancong hadir ke lokasi itu ternyata melahirkan rasa terkejut dengan perhimpunan hari ini.

“Saya sangka Malaysia ini aman, tidak tahu adanya perhimpunan dengan begitu ramai orang hadir dalam keadaan panas seperti ini,” katanya yang enggan dinamakan.

Perhimpunan itu ditutup dengan bacaan doa dan nyanyian lagu Negaraku sebagai tanda penutup, peserta kemudian bersurai secara aman tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.

Selepas perhimpunan, pekerja kebersihan bersama penganjur dilihat bergotong-royong membersihkan kawasan Dataran Merdeka termasuk sisa makanan dan sampah yang ditinggalkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast