JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri sudah mengenal pasti beberapa tempat parkir swasta di sekitar daerah ini dan Iskandar Puteri untuk dijadikan tempat kenderaan pekerja Malaysia di Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kira-kira 2,000 lot parkir di tapak parkir swasta yang baharu sudah dikenal pasti setakat ini.
“Saya kira jumlah ini masih tidak mencukupi namun ia adalah berpusat. Jadi, selepas ini kita mengadakan perbincangan dengan pengusaha bas yang berulang alik dari Johor ke Singapura.
“Ini termasuk menghantar pekerja ke kilang dan kawasan Industri di Singapura bagi memudahkan perjalanan mereka,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Ekspo Hartanah Johor di Plaza Angsana Mall Johor Bahru, di sini semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Mohd Jafni mengulas isu pekerja Malaysia di Singapura yang ‘memenuhi’ lot parkir pengusaha kedai hingga menjejaskan perniagaan mereka.
Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut berhasrat untuk mewartakan tempat-tempat parkir yang selalu digunakan pekerja Malaysia di Singapura seperti di kawasan Larkin dan Taman Ungku Tun Aminah.
“Bila mereka lihat ada tempat parkir yang tidak mengenakan apa-apa bayaran, di situlah mereka tinggalkan kenderaan mereka. Tapi bila kita kena caj, mungkin kita boleh tahu sama ada mereka bekerja di Singapura atau tidak,” ujarnya.
Beliau berkata, langkah itu akan menyelesaikan isu pekerja Malaysia di republik tersebut termasuk yang menggunakan parkir depan restoran dan premis perniagaan hingga menjejaskan operasi peniaga.
“Ini adalah hasil kerjasama taskforce dilakukan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut melibatkan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.
“Hasil perbincangan di peringkat taskforce ini, YB Mohamad Fazli sudah kenal pasti beberapa tempat parking swasta yang akan kita tawarkan kepada pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura.
“Jadi, kita akan teruskan dengan perancangan itu bagi menyelesaikan isu parking yang semakin meruncing,” katanya.
Mohd Jafni berkata, sudah menjadi hasrat kerajaan untuk membantu pekerja Malaysia yang bekerja di seberang tambak itu dan dalam masa sama tidak menjejaskan pengguna jalan raya yang lain. – MalaysiaGazette
















