DUTA Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob menyerahkan watikah pelantikan beliau kepada Presiden AS, Donald Trumph, di White House kelmarin. - Foto: White House

KUALA LUMPUR – Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob menyerahkan watikah pelantikan beliau kepada Presiden negara itu, Donald Trumph, di White House kelmarin.

Ketika sesi penyerahan itu, Muhammad Shahrul Ikram turut menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook Embassy of Malaysia, Washington D.C., Muhammad Shahrul Ikram dalam pertemuan itu turut merakamkan penghargaan kepada Trump atas penyertaan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 8 hingga 11 Julai lalu.

Katanya, penyertaan itu sekali gus mengukuhkan lagi komitmen AS terhadap rantau ini serta meningkatkan Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS.

“Sepanjang lebih enam dekad sejak 1957, hubungan Malaysia-AS telah berkembang menjadi satu perkongsian pelbagai dimensi yang merangkumi kerjasama politik, ekonomi, pertahanan dan keselamatan, pendidikan serta hubungan antara rakyat,” katanya.

Tambahnya, majlis penyerahan surat tauliah di White House kelmarin itu, menandakan pelantikan Muhammad Shahrul Ikram sebagai Duta Besar Malaysia ke AS yang ke-18 secara rasmi.

Muhammad Shahrul Ikram dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke AS bagi menggantikan Datuk Seri Nazri Aziz yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 8 Februari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast