Gambar hiasan

KUALA LUMPUR -Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam dan organisasi susulan seorang kakitangannya berdepan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, 25 Julai lalu.

Kementerian itu menambah, sebagai langkah segera, Lembaga Tatatertib KKR akan bersidang bagi memastikan prosiding perundangan dapat dijalankan tanpa gangguan dan selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Sebagai menghormati proses Mahkamah yang sedang berjalan dan demi menjaga hak semua pihak yang terlibat, KKR tidak akan mengulas lebih lanjut mengenai kes ini sehingga keputusan perundangan dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KKR, kementerian itu sentiasa melaksanakan program kesedaran, pendidikan dan intervensi bagi tujuan mencegah perlakuan sedemikian.

KKR katanya, komited untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, profesional, kondusif dan bebas daripada sebarang bentuk gangguan.

Terdahulu media melaporkan, seorang pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri akan dituduh di mahkamah kerana dipercayai melakukan rasuah membabitkan kontrak bernilai ratusan ribu ringgit.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata pengarah itu akan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dengan lima pertuduhan.

Katanya, dalam kes itu, pengarah berkenaan dan beberapa pegawainya disyaki menerima wang rasuah daripada kontraktor berhubung dengan projek selenggaraan. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast