MELAKA – Semua pemain industri di Melaka digesa supaya lebih berani dan kreatif untuk menjadi pencetus kepada gelombang baharu pelancongan di Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, dalam suasana landskap pelancongan yang kian mencabar dan kompetitif, kejayaan masa depan Melaka tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata.
“Lebih banyak pihak perlu menjalin kolaborasi berani, kreatif dan berimpak tinggi demi membina ekosistem pelancongan Melaka yang lestari dan terus menjadi pilihan utama pelancong tempatan mahupun antarabangsa.
“Usaha ini menuntut kerjasama rentas sektor antara agensi, pemain industri dan komuniti setempat sekali gus mampu menjadi pemangkin kepada transformasi pelancongan Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapa perasmian Majlis Pelancaran T-Shirt Edisi Khas Melaka River Cruise X Hard Rock Cafe Melaka Sempena Ulangtahun Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) Ke-20 dan Pakej Cruise Rock The River di Hard Rock Cafe Melaka, di sini.

Ab Rauf (kanan) melihat T-Shirt Edisi Khas Melaka River Cruise X Hard Rock Cafe Melaka yang dilancarkan Sempena Ulangtahun Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) Ke-20 di Hard Rock Cafe Melaka.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, kolaborasi antara dua entiti itu, bukan sekadar gabungan dua nama besar, tetapi manifestasi komitmen Melaka untuk memperkenalkan tarikan tempatan menerusi sentuhan jenama global.
“Malah, kerjasama antara PPSPM dan dan Hard Rock Cafe Melaka ini merupakan pertama di Malaysia yang mana T-Shirt Edisi Khas
sempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 ini akan dijual pada harga RM179 sehelai.
“Untuk permulaan, sebanyak 350 helai dikeluarkan sebagai permulaan dan jumlah ini akan ditambah mengikut sambutan dan permintaan,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Pakej Cruise Rock The River yang menawarkan pengalaman pelayaran premium menyusuri Sungai Melaka.
Pengalaman itu menawarkan kelengkapan bot berhawa dingin berkapasiti 12 penumpang, ditambah dengan sajian istimewa daripada Hard Rock Cafe Melaka. – MalaysiaGazette
















