KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan rombakan kepimpinan di peringkat pusat bagi memperkukuh jentera parti, termasuk melantik Ketua PKR Sarawak, Roland Engan, sebagai Naib Presiden baharu.
Menurut Ketua Penerangan, Datuk Fahmi Fadzil dalam kenyataan lewat malam ini, pelantikan ini dibuat dalam dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dihadiri oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelantikan Roland melengkapkan senarai Naib Presiden yang turut disertai Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Aminuddin Harun, Chang Lih Kang dan Datuk Seri R Ramanan.
Ia dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh peranan PKR di Borneo menjelang tempoh politik yang semakin mencabar.
Bekas Exco Selangor, Elizabeth Wong, pula dinamakan sebagai Setiausaha Pengelola Utama, manakala Datuk Fuziah Salleh dilantik sebagai Setiausaha Agung.
Fahmi kekal sebagai Ketua Penerangan, William Leong sebagai Bendahari Agung, Adam Adli sebagai Pengarah Komunikasi, Maszlee Malik sebagai Pengarah Biro Antarabangsa, dan Akmal Nasir sebagai Ketua Biro Ekonomi.
Dalam masa sama, beberapa lantikan baharu ke Majlis Pimpinan Pusat (MPP) turut diumumkan melibatkan Abu Hafiz Salleh Hudin, Romli Ishak, Manolan Mohamad, Awang Husaini Sahari, Afandi Salleh, Nor Azman Mohamad, dan Yuneswaran Ramaraj.
Selain itu, Saifuddin Shafi Muhammad, Aidi Amin Yazid, Bryan Ng Yih Miin, dan Sivamalar Genapathy diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Setiausaha Agung manakala Hee Loy Sian dilantik Timbalan Bendahari Agung, Siti Aishah Shaik Ismail sebagai Timbalan Ketua Penerangan, dan Syaril Showkat Ali sebagai Timbalan Setiausaha Pengelola.
Maklumat tidak rasmi mengenai lantikan pengerusi negeri turut diperoleh daripada sumber dalaman kepada MalaysiaGazette yang memaklumkan antara nama yang disebut sebagai Pengerusi Negeri ialah ialah Amin Ahmad (Perlis), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kedah), Datuk Ir Haji Mohamad Abdul Hamid (Pulau Pinang), Amir Sabri (Perak), Datuk Seri Amirudin Shari (Selangor), Datuk Seri Aminuddin Harun (Negeri Sembilan).
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Melaka), Dr Zaliha Mustafa (Johor), Datuk Seri Suparadi Mohd Nor (Kelantan), Datuk Ahmad Farhan Fauzi (Pahang), Datuk Mustapha Sakmud (Sabah) dan Abun Sui Anyit (Sarawak).
Bagaimanapun, sumber tersebut menegaskan senarai ini belum diumumkan secara rasmi oleh parti dan masih tertakluk kepada pengesahan MPP.
Dalam pada itu, sumber tertinggi PKR Selangor menepis khabar angin kononnya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak mendapat sokongan penuh di negeri itu.
“Kesemua 22 Ketua Cabang di Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap Amirudin. Jadi dakwaan kononnya beliau kehilangan sokongan adalah tidak benar sama sekali,” kata sumber tersebut. – MalaysiaGazette
















