KUALA LUMPUR – Sebanyak 155 tapak pelupusan sampah terbuka di seluruh negara akan ditutup secara berfasa sepanjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menteri Perumah dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha menangani pencemaran bau dan air akibat pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur serta kapasiti sampah berlebihan yang sering menjejaskan kualiti hidup penduduk berhampiran.
“Penutupan ini akan dilaksanakan secara terancang melalui Pelan Penutupan dan Pemulihan Tapak Pelupusan Tidak Sanitari yang turut merangkumi pembangunan semula kawasan tersebut kepada kemudahan komuniti seperti taman awam, ladang solar dan ruang rekreasi.
“Sehingga kini, sebanyak 23 tapak pelupusan tidak sanitari telah ditutup secara selamat dan kerja-kerja pemulihan sedang berjalan,”katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Antara projek rintis berjaya yang dikongsi ialah Lestari Park Felda Sungai Sibol, Bandar Tenggara, Johor yang sebelum ini menampung lebih 360,000 tan metrik sampah sejak 1999.
Tapak seluas 7.56 hektar itu kini dibangunkan sebagai taman rekreasi berkonsepkan stroller garden.
Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan sedang membangunkan 18 loji Waste-to-Energy (WtE) secara berperingkat sehingga 2040.
“Loji ini dijangka mampu mengurangkan 85 peratus sisa ke tapak pelupusan dan menjana sehingga 600 megawatt tenaga boleh diperbaharui.
“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI ke arah sifar sisa, sifar toksik dan ekonomi kitaran yang lebih mampan,” tambahnya.
Bagi mengawal bau di tapak pelupusan aktif, semburan Effective Microbe (EM) dilaksanakan tiga kali sehari, selain mengehadkan kawasan pelupusan terbuka kepada hanya 20 peratus keluasan sel pelupusan.
Kawasan selebihnya pula akan ditutup dengan tanah atau lapisan HDPE untuk mengurangkan pencemaran air dan bau.
Kaedah rawatan air larut resap secara recirculation dan penyejatan semula jadi turut dipraktikkan bagi mengurangkan risiko pelepasan air tercemar ke sungai.
Pemantauan di lapangan oleh SWCorp menunjukkan langkah mengehadkan kawasan pelupusan aktif berjaya mengurangkan pencemaran bau serta mengurangkan kapasiti air larut resap sehingga 50 peratus. – MalaysiaGazette
















