KUALA LUMPUR – Seramai 40 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan suspek kes dadah ditahan dalam operasi bersepadu yang diadakan di Tawau dan Kalabakan selama tiga hari sejak 24 Julai lalu.
Menurut Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos, seramai 146 individu, 26 premis dan kenderaan diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
“Daripada jumlah itu, 21 PATI dari Filipina dan Indonesia ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen, manakala 19 lagi termasuk dua pengedar dadah diberkas dalam serbuan berasingan,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, turut dirampas dadah jenis syabu seberat 125.64 gram, 41 botol cecair ketum serta wang tunai RM950.
Operasi yang dikoordinasikan oleh ESSCOM bersama pelbagai agensi penguat kuasa itu menyasarkan kawasan tumpuan yang dikenal pasti sebagai laluan utama kegiatan penyeludupan dan pencerobohan selain penempatan haram PATI.
Antaranya adalah Jeti Kompleks CIQ Lama, Road Check Point (RCP) Kalabakan.
Victor berkata, seramai 254 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk PDRM, ATM, Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen terlibat ketika operasi tersebut. – MalaysiaGazette
















