NIBONG TEBAL – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ARMADA Pulau Pinang hari ini menyuarakan bantahan keras terhadap penganugerahan darjah kebesaran ‘Datuk Seri’ kepada Datuk Farhash Wafa Salvador yang disifatkan tidak berasaskan prinsip merit dan sumbangan kepada negeri.
Penolong Setiausaha ARMADA BERSATU Pulau Pinang, Muhammad Amirulfahmi Rosly menyifatkan tindakan itu sebagai mencemarkan reputasi institusi penganugerahan apabila anugerah tersebut diberikan kepada individu yang bukan sahaja tidak mempunyai rekod sumbangan yang jelas malah turut dikaitkan dengan beberapa kontroversi, termasuk skandal di Sabah.
“Pemberian darjah dan pingat kebesaran seharusnya berpaksikan kepada jasa serta sumbangan tulen terhadap negeri dan rakyat bukan atas dasar hubungan peribadi atau kepentingan politik tertentu.
“Justeru kita menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta pihak pencadang agar kembali kepada prinsip asal penganugerahan yang berlandaskan merit, integriti dan khidmat kepada masyarakat.
“Gelaran dan pingat kebesaran bukan sesuatu yang boleh dipermudah atau direndahkan nilainya. Ia adalah lambang penghormatan tertinggi negeri kepada rakyat dan perlu sentiasa dipertahankan maruah serta kewibawaannya,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, sebarang usaha memperalatkan penganugerahan demi ganjaran hubungan atau kepentingan politik peribadi adalah satu bentuk pengkhianatan kepada semangat asal institusi penganugerahan negeri.
“Kita akan terus memantau proses penganugerahan di negeri ini dan bersuara sekiranya prinsip ketelusan dan keadilan tidak dipatuhi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Media pada Sabtu lalu melaporkan Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk menerima penganugerahan Darjah Panglima Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk Seri dalam satu istiadat rasmi di sini.
Penganugerahan itu disampaikan sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-84 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Ramli Ngah Talib di Dewan Sri Pinang. – MalaysiaGazette















